KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sedang dilaksanakan sehingga 4 Februari ini kemungkinan mempunyai kesan yang tidak diingini kepada ekonomi susulan prosedur standard operasi (SOP) yang lebih ketat dalam menjalankan perniagaan dan sekatan perjalanan antara negeri.
Namun Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang telah diumumkan sejurus selepas PKP 2.0 bagi mengurangkan beban kewangan yang dihadapi rakyat serta mengekalkan daya tahan ekonomi negara dalam mendepani penularan pandemik Covid-19.
Pakej ini memperuntukkan sejumlah RM15 bilion yang mempunyai 22 inisiatif merentasi pelbagai sektor dengan objektif untuk memerangi pandemik Covid-19, menjaga kesejahteraan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan dalam tempoh PKP.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, ekonomi Malaysia pada 2021 dijangka terus berada dalam fasa pemulihan berdasarkan kepada Indeks Pelopor (IP) pada bulan November 2020 yang mencatatkan 109.1 mata iaitu meningkat 7.1 peratus dari November 2019.
Sementara itu, IP juga merekodkan pertumbuhan 0.4 peratus pada bulan November 2020 berbanding bulan sebelumnya.
Walaupun IP menunjukkan peningkatan yang lebih baik, pelaksanaan semula PKP yang bermatlamat untuk mencapai keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi akan memberikan beberapa kesan terutamanya dari segi momentum pemulihan.
Menurutnya, pandemik ini telah menimbulkan cabaran besar bagi ekonomi global apabila hampir semua negara di seluruh dunia mengalami kemerosotan ekonomi pada tahun 2020 dan cenderung menguncup lebih mendalam.
Lantaran itu, kata Mohd Uzir, adalah sangat penting untuk terus memantau situasi yang mencabar disebabkan pandemik ini melalui petunjuk ekonomi bagi mengurangkan kesannya terhadap ekonomi.
Beliau berkata, prestasi eksport barangan dagangan pada bulan November 2020 negara terus menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan peningkatan untuk bulan ketiga berturut-turut berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan tahun ke tahun, eksport meningkat 4.3 peratus pada November 2020 manakala import merosot dengan magnitud yang lebih ketara 9.0 peratus.
Pertumbuhan positif eksport disokong terutamanya oleh eksport barang dagangan yang lebih tinggi kepada rakan dagangan utama, terutamanya ke Amerika Syarikat, diikuti Singapura, China, Hong Kong dan Kesatuan Eropah.
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pada November 2020 mencatatkan penurunan sebanyak 2.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya bagaimanapun, sektor pembuatan yang merupakan komponen terbesar dalam IPP mencatatkan 2.0 peratus, dipacu oleh pertumbuhan output yang berorientasikan eksport dan domestik.
Sementara itu, nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit mencatatkan penyusutan 1.2 peratus tahun ke tahun dipengaruhi oleh prestasi lemah Perdagangan Runcit yang menguncup 2.3 peratus.
Pada November 2020, Indeks Harga Pengeluar (IHPr) yang mengukur perubahan harga purata yang dikenakan oleh pengeluar tempatan terhadap output mereka merosot pada kadar yang lebih kecil 3.0 peratus tahun ke tahun didorong oleh penurunan dalam sektor perlombongan, bekalan elektrik & gas dan pembuatan.
Trend yang sama turut diperhatikan bagi Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan November 2020, yang mana IHP jatuh 1.7 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Selain itu, berdasarkan statistik Disember 2020, IHP meningkat kepada negatif 1.4 peratus seterusnya merumuskan penurunan sebanyak 1.5 peratus bagi suku keempat tahun 2020.
Menurutnya, tahun 2020 telah menjadi satu cabaran besar bagi membendung wabak Covid-19 dan implikasi daripada pelaksanaan elbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap ekonomi Malaysia. – MalaysiaGazette
GOOD