Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Langkah Malaysian Football League (MFL) menunda tarikh sepak mula Liga Malaysia dari 26 Februari ini ke 5 Mac depan adalah satu keputusan yang adil buat semua pasukan dalam melakukan persiapan ekoran larangan mengadakan sebarang latihan buat masa ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari depan.

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau boleh menerima keputusan sukar dibuat oleh MFL selain memahami keperluan utama yang perlu diambil kira ekoran jumlah kes pandemik Covid-19 yang masih di tahap membimbangkan.

Walaupun sedih dengan pertandingan Piala FA sekali lagi terpaksa dikorbankan, Aidil berpandangan sememangnya itu jalan terbaik kerana bimbang pemain-pemain terpaksa mengharungi jadual padat yang akan meninggikan risiko kecederaan pemain.

“Keputusan yang dilakukan MFL ini adalah sesuatu yang cukup adil kepada semua terutama kebanyakan pasukan sudah tidak boleh berlatih dan sudah tentu MFL telah melakukan kajian mendalam daripada semua segi sebelum membuat keputusan sebegini.

“Begitu juga aksi pembukaan Piala Sumbangsih dan saya rasa pandangan Johor Darul Ta’zim juga telah diambil kira, jadi kami bersedia untuk bermain pada 5 Mac jika mengikut perancangan terbaharu.

“Mengenai ketiadaan Piala FA pada musim ini, memang saya berasa sangat sedih namun dalam masa faham kenapa keputusan itu diambil kerana kita ada juga kepentingan lain perlu dilihat seperti pasukan kebangsaan dan kejohanan di peringkat AFC.

“Kita kena hormat serta faham situasi sekarang yang melibatkan Covid-19 ini yang masih tinggi kesnya di Malaysia dan kenapa keperluan ini perlu diambil,” katanya kepada MFL di sini hari ini.

Ketua Jurulatih pasukan Pahang, Dollah Salleh menunjukkan trofi selepas merangkul Jurulatih Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK19) di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 NOVEMBER 2019

Pengurus Sri Pahang FC, Dollah Salleh turut bersependapat dengan Aidil sambil menyatakan keselamatan pemain dan pengawai menjadi faktor paling penting yang perlu ekoran lonjakan kes pandemik Covid-19 yang begitu tinggi.

Tambahnya, MFL perlu membuat keputusan sedemikian agar ada ruang untuk pasukan melakukan persiapan pra musim sambil optimis akan ada langkah susulan daripada badan pentadbir Liga Malaysia itu jika kebanyakan pasukan belum boleh berlatih selepas 4 Februari depan.

“Apa yang kita kena tengok sekarang adalah keselamatan semua, kita sudah tentu tidak mahu kalau liga berjalan juga, akan ada kes kluster membabitkan pemain dan pegawai, jadi memang wajar Liga Malaysia ditangguh.

“Saya juga tiada masalah menerima hakikat tiada pertandingan Piala FA pada musim ini kerana sememangnya itu yang terbaik kepada semua pihak kerana penangguhan sepak mula Liga Malaysia, masa pasti suntuk untuk harungi semua perlawanan.

“Mengenai persiapan, Sri Pahang sememangnya telah bermula tempoh hari sebelum PKP dilaksanakan dan kita harap semua pasukan berpeluang dapat jalani latihan sebaik tiada lagi PKP mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.

Semalam, MFL telah membuat keputusan untuk menunda tarikh sepak mula Liga Malaysia bagi musim 2021 pada 5 Mac ini susulan PKP di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga awal bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk, Ab Ghani Hassan berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian serta turut mengambil pandangan dan persetujuan daripada wakil-wakil pasukan menerusi satu taklimat khas pada Isnin.

MFL juga telah bersedia untuk menyediakan beberapa mekanisme seperti SOP latihan yang lebih ketat dan SOP latihan kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan lebih efektif, selamat dan menghindari segala prospek pandemik Covid-19.

Selain itu, Ab Ghani mendedahkan Piala FA tiada dalam perancangan dalam kalendar Liga Malaysia musim 2021 bagi memastikan pasukan tidak dibebani dengan jadual padat sekali gus memberikan impak kepada kualiti Liga Malaysia. – MalaysiaGazette