Friday, April 19, 2024
Home Utama Saya hampir mati, sesak nafas kerana Covid-19 – Azizan

Saya hampir mati, sesak nafas kerana Covid-19 – Azizan

KUALA LUMPUR – Pakar motivasi dan penceramah terkenal, Datuk Azizan Osman berkongsi pengalaman dijangkiti Covid-19 selepas ada kontak rapat dengan seorang pesakit yang sama pada 7 Januari lalu.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Azizan berkata, selain beliau, seramai 31 ahli keluarganya lain turut dijangkiti Covid-19.
Apa yang turut menyedihkan ialah, ibu mentuanya meninggal dunia akibat pandemik itu.
Beliau menggambarkan kejadian yang menimpa beliau itu sebagai sesuatu yang sangat berat dan memeritkan untuk ditanggung.
“Covid-19 hampir meragut nyawa saya! (Pada pukul) 1.44 petang, Jumaat 15 Januari – saya dah hampir maut! Nafas saya sesak! Doktor kata peluang saya amat tipis! Tetapi sesuatu berlaku yang membuktikan kekuasaan Allah SWT.
“Saya dan keluarga diuji dengan virus Covid-19. (Seramai) 31 ahli keluarga saya dijangkiti Covid-19 dan ibu mentua saya telah kembali ke rahmatullah.
“Tak mudah untuk saya kongsikan betapa sedih, perit dan ngeri pada waktu itu. Tetapi sangat penting untuk saya kongsikan sebagai seorang mentor, saya nak anda tahu proses ini,” katanya dalam media sosialnya hari ini.
Azizan yang juga pengasas syarikat RichWorks International menyatakan dia hampir menitiskan air mata ketika berkongsi perkara itu  namun sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan membuatkannya lebih tabah.
“Masa itulah saat penentu untuk pergi atau kekal… you tak boleh bernafas, you tak boleh tarik, you tak boleh hembus hanya gunakan mesin untuk terus bertahan dan melawan dengan otak, emosi dan diri.
“Kamu mahu hidup? Kamu mahu lawan? Itu la saatnya… Dan Insya-Allah, ini masanya untuk saya betulkan segalanya. Peluang kedua ini bukan sekadar suka-suka.
“Saya percaya ada sebab Allah bagi peluang ini untuk saya buat segalanya dengan lebih baik, dan menjadi mentor yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Azizan menyifatkan pandemik Covid-19 bukan telah menjejaskan kehidupan ramai orang dalam meneruskan kelangsungan hidup namun turut memberi kesan kepadanya.
“Seorang ibu yang mencuri ubat untuk anak-anak, ada yang mencari rezeki di tempat sampah.
“Kerajaan yang sedang berkira-kira untuk total lockdown yang akan beri impak pada pekerjaan ramai orang dan perniagaan. Tekanan perasaan dan banyak lagi dalam berita semasa.
“Ini semua cukup memberi kesan pada saya betapa saya belum berjaya bantu bangsa saya untuk berjaya,” katanya. – MalaysiaGazette