BARU-baru ini kerajaan mengumumkan bahawa Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19, iaitu pelan pemberian vaksin kepada penduduk negara ini akan dilaksanakan bermula Mac 2021. Secara mudahnya, vaksin mengandungi antigen, yang diperoleh dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Menurut sejarah, vaksin telah dtemui seawal 1774 lagi bagi mencegah jangkitan cacar. Kemuncak kejayaan vaksin dalam mengawal penularan penyakit adalah pada tahun 1977, dimana
penyakit cacar akhirnya berjaya dibasmi secara menyeluruh di seluruh dunia. Baru-baru ini isu vaksin kembali hangat diperkatakan oleh khalayak akibat penularan Covid-19. Ada
yang menyokong, namun tidak kurang juga yang sangsi. Namun yang demikian, dimanakah kedudukan vaksin dari sudut hak asasi manusia dan perundangan?

Perspektif Perundangan Antarabangsa

Secara amnya, terdapat banyak instrumen-instrumen perundangan antarabangsa yang membicarakan soal rawatan kesihatan, seperti Kod Nuremberg dan Konvensyen Oviedo. Namun, instrumen perundangan utama yang membicarakan berkenaan dengan hal ini adalah Deklarasi UNESCO 2005. Menurut Perkara 6 Deklarasi ini, persetujuan seseorang untuk menerima rawatan, (termasuklah vaksinasi) adalah perlu. Walau bagaimanapun, Perkara 6 Deklarasi ini dibataskan oleh
peruntukan di bawah Perkara 27 Deklarasi yang sama di mana persetujuan penerima rawatan adalah tidak semestinya tidak diperlukan. Hal ini kerana, Perkara 27 Deklarasi UNESCO 2005 menggariskan bahawa pemakaian prinsipal-prinsipal dibawah

Deklarasi ini boleh dihadkan diatas sebab bagi melindungi kesihatan awam, dengan syarat ia memenuhi tuntutan-tuntutan yang tertentu di bawah Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa. Di antara syarat-syaratnya adalah sekatan
tersebut haruslah mempunyai matlamat yang sah, diperundangkan, bagi memenuhi keperluan yang mendesak, dan haruslah berkadaran dengan matlamat asal sekatan.

Jaminan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Sedia Ada Mengenai Vaksin

Penulis berpendapat bahawa sekurang-kurangnya terdapat dua peruntukan didalam Perlembagaan ersekutuan yang berkaitan dengan isu rawatan kesihatan dan vaksinasi. Peruntukan pertama ialah di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai jaminan terhadap kebebasan diri dan perlindungan nyawa. Menurut keputusan mahkamah dalam kes Tan Tek Seng v Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, istilah “nyawa” di bawah Perkara 5 turut meliputi jaminan terhadap perlindungan kesihatan yang baik. Perkara 5(1) juga turut menggariskan bahawa kebebasan dan jaminan yang diatas boleh dihadkan sekiranya ada undang-undang yang membataskannya.

Seterusnya adalah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang mana ia menjamin kesamarataan. Konsep kesemarataan didalam hal ini mungkin boleh dicerminkan melalui kesemarataan terhadap akses rawatan dan vaksinasi tanpa mengira pangkat, darjat, kepercayaan, bangsa dan status ekonomi. Secara umumnya, Malaysia tidak mempunyai suatu akta atau undang-undang khusus yang menyelia perkara-perkara yang berkaitan dengan vaksin dan vaksinasi. Dalam hal ini, undang-undang lain yang berkaitan digunapakai bagi memenuhi lompong undang-undang sedia ada. Misalnya, Akta Kanak-Kanak 2001 kerap digunakan bagi mewajibkan vaksinasi terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Undang-undang lain yang berkaitan adalah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, namun, akta ini lebih bersifat umum dan tidak begitu memfokuskan terhadap aspek vaksinasi. Dalam soal ini penulis berpandangan bahawa Malaysia agak terkebelakang dalam aspek perundangan vaksin dan vaksinasi jika dibandingkan dengan negara-negara maju. United Kingdom sebagai contoh, telah mempunyai Undang-undang berkaitan pembangunan vaksin dan vaksinasi sejak dari tahun 1840 lagi. Terbaru, Akta Koronavirus 2020 telah digubal di United Kingdom bagi mengawal pandemik termasuklah merangkumi program vaksinasi. Walaupun begitu, United Kingdom masih lagi tidak mewajibkan pengambilan vaksin dikalangan rakyatnya, seperti mana di negara-negara Eropah yang lain seperti di Perancis, Jerman dan Itali.

Cadangan untuk menggubal sebuah akta yang mewajibkan vaksinasi di Malaysia terutamanya dalam kalangan kanak-kanak secara amnya dimulakan pada tahun 2016. Namun pada tahun 2019, Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa undang-undang sedemikian adalah tidak perlu oleh kerana kadar pematuhan terhadap penerimaan vaksin dikalangan rakyat adalah melebihi 95%. Walaupun begitu, penulis berpendapat bahawa kadar peratusan penerimaan vaksin mungkin berbeza selepas dunia menghadapi pandemik Covid-19. Hal ini kerana, masih terdapat banyak kelompok dikalangan masyarakat yang masih lagi sangsi dengan keberkesanan, dan gusar dengan kemungkinan kesan sampingan vaksin Covid-19 yang sedia ada.

Malah, tidak kurang juga yang mempersoalkan keselamatan dan kesucian kandungan vaksin-vaksin tersebut. Penyebaran
maklumat-maklumat palsu berkaitan dengan vaksin Covid-19 juga turut mengurangkan keyakinan masyarakat terhadap vaksin-vaksin yang telah atau sedang dibangunkan. Oleh itu pada pandangan penulis, satu Akta khusus berkaitan dengan vaksin haruslah digubal di negara ini. Melalui Akta ini, ia mampu menjamin akses vaksin yang sama rata tanpa ada sebarang
diskriminasi didalam masyarakat. Akta ini juga haruslah bertindak sebagai mekanisme perundangan yang menjamin kejujuran dan ketelusan semua pihak yang terlibat, termasuklah penerima vaksin, pembangun vaksin, penyedia penjagaan kesihatan dan juga kerajaan.

Maklumat-maklumat berkenaan vaksin dan program vaksinasi haruslah diberikan dalam format dan bahasa yang difahami
bagi menjamin keberkesanan dan keselamatan vaksin tersebut. Protokol dan prosedur vaksinasi haruslah dimaklumkan secara jelas dan difahami oleh penerima vaksin, dan dalam pada masa yang sama penerima vaksin harus memberikan maklumat latar belakang kesihatan yang tepat kepada pihak berwajib. Akta ini juga boleh berperanan untuk mengawal aspek pengedaran dan pengagihan vaksin, sekaligus mengelakkan manipulasi harga yang berlebihan bagi mengaut keuntungan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, akta ini juga haruslah mempunyai remedi-remedi perundangan tertentu bagi melindungi pihak-pihak berkaitan sekiranya ada kecuaian, perlanggaran syarat dan sebagainya. Selain itu, akta ini juga boleh menyentuh soal tatacara khusus pembangunan vaksin, sekaligus menyediakan landasan kepada Malaysia untuk menjadi salah satu negara pembangun vaksin di masa akan datang. Disamping itu, pihak berwajib haruslah mengambil peluang melalui Proklamasi Darurat yang
diisytiharkan oleh Yang Dipertuan Agong baru-baru ini bagi mengawal pandemik Covid-19. Proklamasi Darurat menjustifikasikan penggubalan undang-undang dalam bentuk Ordinan bertujuan untuk mengawal pandemik tanpa perlu melalui proses-proses perundangan kebiasaan di Parlimen.

Namun harus ditegaskan bahawa menggubal undang-undang melalui Ordinan Darurat hanyalah memberikan penyelesaian jangka pendek oleh kerana menurut Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan, Ordinan tersebut akan terbatal secara sendirinya selepas 6 bulan sesebuah Proklamasi
Darurat tersebut dibatalkan.

Kesimpulan

Penggubalan sebuah Akta khusus berkenaan dengan vaksin dan vaksinasi adalah perlu bagi menjamin akses dan keberkesanan vaksin tersebut untuk jangka masa panjang. Sekurang-kurangnya
akta ini mampu membina keyakinan dan menghilangkan keraguan disebabkan penyebaran maklumat-maklumat palsu yang semakin menular di kalangan masyarakat. Penulis juga berpendapat bahawa golongan akademik dan kerajaan haruslah lebih giat memainkan peranan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem kesihatan awam dapat dipulihkan, dan pada masa yang sama memastikan keselamatan rakyat terjamin. Akhir kata, penulis berpendapat bahawa aspek kesihatan, penerangan dan pendidikan haruslah berjalan seiring dengan aspek perundangan bagi membasmi mana-mana penyakit berjangkit termasuklah Covid-19.

Dr. Hafidz Hakimi Haron
Pensyarah, Fakulti Undang-Undang,
Universiti Multimedia, Kampus Melaka