Gelagat kanak-kanak orang asli melakukan ujian saringan Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Dewan Desa Temuan, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2021.

LAPORAN Lowy Institute yang berpusat di Sydney, Australia  menyatakan, Malaysia mendapat 71 peratus markah manakala Singapura berada di tangga Ke-13 dengan 74.9 peratus dalam keberkesanan negara melawan virus Covid-19.

Laporan badan pemikir itu turut mencatatkan Vietnam di tempat kedua selepas New Zealand dengan markah 90.8 peratus.

Thailand berada di tangga keempat dengan 84.2 peratus manakala Indonesia berada di tangga ke-85 dengan 24.7 peratus.

Sementara itu New Zealand berada di tangga pertama dengan 94.4 peratus manakala Taiwan di tangga ketiga (86.4 peratus).

Kajian tanpa prejudis kepada mana-mana pihak itu membuktikan betapa Malaysia berada pada paras yang cukup membanggakan, iaitu di tempat 20 tertinggi di dunia.

Tidak dapat dinafikan, kredit kecemerlangan ini wajar dituju terus kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah kepimpinan menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba. Demikian juga Perdana Menteri dan semua Menteri serta agensi yang terlibat, baik yang bersidang sama dalam mesyuarat harian mahu pun yang
frontliners bertugas di lapangan siang dan malam.

Beliau bukan sahaja telah berjaya mengurus situasi darurat dengan penuh seimbang dari segi kepakaran penyakit berjangkit, malah pengurusan kepimpinannya juga sedikit berbeza dari kebiasaan.

Contohnya, beliau satu-satunya menteri Kabinet yang menurunkan kuasa dan memberi fungsi selaku jurucakap sektor kesihatan ketika pandemik Covid-19 kepada penjawat awam (Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah).

Proses membawa masuk vaksin Covid-19 ke Malaysia juga antara contoh tepat bagaimana KKM memainkan fungsinya sehabis baik. Dalam diam rundingan berjalan untuk direalisasikan. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertanggungjawab terhadap kemajuan sains, teknologi juga nampaknya teralih
perhatian kepada hal ini. Dan sekali lagi kita patut hormati sikap Dr Adham dan warga KKM yang tidak rimas, berasa pelik atau lebih tepat terbuka serta bersedia memberi ruang Kerjasama yang dihulurkan oleh MOSTI.

Tambahan pula MOSTI melihat tanggungjawabnya jauh melangkaui portfolionya kepada kesihatan, pelancongan dan jalan raya.

Hasil kepimpinan waja KKM juga memperlihatkan bagaimana negara kita menjadi satu-satunya negara di luar China yang dibenarkan melakukan kajian keberkesanan fasa 3 terhadap vaksin Covid-19.

Selain KKM, kerjasama erat dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain-lain agensi dalam menggerakkan ‘task force’ melawan Covid-19 ini telah melayakkan negara kita berada pada tahap
membanggakan itu.

Tidak terhenti setakat itu, kumpulan masyarakat yang sering patuh kepada saranan KKM dan MKN juga sudah pasti menjadi penyumbang terpenting dalam kita melawan Covid-19.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta 342 di bawah bidang kuasa KKM sudah pasti tidak berkesan jika tiada kolaborasi dari masyarakat, dan idea asal dari Menteri Kesihatan.

Ternyata semua ini menjadi penyumbang yang berkait hingga melayakkan Malaysia dinobatkan sebagai antara 20 negara terbaik dalam mengurus pandemik Covid-19.

Sudah tiba masanya untuk kita teruskan soladiriti melawan pandemik Covid-19 ini sehingga tiba tarikh kita terlepas dari virus berbahaya itu.

Dr Hasbul Md Berahim
W.P. Putrajaya

1 Komen

Comments are closed.