KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy tidak faham bagaimana seseorang sanggup mendera kanak-kanak.

Beliau yang masih tidak dapat menerima hakikat itu mempersoalkan bagaimana seseorang boleh bertindak di luar kawalan seperti yang berlaku ke atas seorang kanak-kanak ditemui mati dalam sebuah tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka dengan kesan cedera dan lebam di beberapa anggota badan.

“Beberapa minggu lepas kita juga dihidangkan satu lagi kisah menyayat hati bagaimana seorang kanak-kanak OKU yang dipijak oleh nenek saudara sehingga mati, juga kisah seorang kanak-kanak lima tahun di pukul hingga mati oleh pengasuh.

“Sampai bila kita hendak dihidangkan dengan berita-berita ngeri seperti ini? Pelbagai perasaan berbaur ketika ini, semua pihak berwajib perlu fokus dalam memastikan isu ini tidak berulang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ibu mangsa dera pernah terima rawatan psikiatri

Menurut Mohana, selain pandemik Covid-19, penderaan memang sesuatu yang begitu serius menghantui masyarakat.

Tambah beliau, ramai tampil melahirkan rasa simpati dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelakunya.

“Namun pada masa sama, kes dera terus berlaku seolah-olah mencerminkan ada segelintir masyarakat kita masih tidak ambil kisah atau peduli dengan kejadian seumpamanya yang berlaku sebelum ini.

“Tahap kesedaran kita ke atas kes penderaan ke atas kanak-kanak ibarat ‘suam-suam kuku’, kecoh sekejap sahaja kemudian hilang kerana bukan sahaja pelaku tidak gerun malah ramai lagi berteruskan tidak kisah untuk melakukan penderaan terhadap anak-anak kecil ini,” ujarnya.

Berikutan itu, Mohana berkata, kerajaan perlu mewujudkan garis panduan tata cara penjagaan kanak-kanak yang lebih tegas selain perlu membuat kajian daripada aspek perundangan dan akta khususnya hukuman berkaitan perbuatan mendera, mengabai dan mencederakan kanak-kanak. – MalaysiaGazette

Norlida kesal tak pertahan anak angkat terus tinggal bersamanya

Kesihatan mental terganggu akibat pandemik Covid-19 punca kes dera – Noraini