Yusry Abdul Halim. foto: FAREEZ FADZIL, 18 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Tiga anak seni iaitu Habsah Hassan, Yusry KRU dan Nora merupakan antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Mereka dikurniakan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah RiƔyatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Habsah merupakan penulis lirik dan skrip ternama tanah air yang telah menghasilkan ribuan naskhah dan memenangi pelbagai anugerah.

Sementara Yusry pula merupakan penyanyi kumpulan KRU yang dianggotai bersama abang dan adiknya, Datuk Norman dan Edry dan kini aktif dalam bidang pengarahan muzik dan video.

Penghibur terkenal, Nora yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema ketika memulakan kariernya 20 tahun lalu turut mendapat pengiktirafan.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, pengurniaan itu adalah sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni dan budaya terhadap lapangan mereka.

Menurut Annuar, tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette