Burhanuddin Bachik

MELAKA – Permohonan bagi mendapatkan hak penjagaan sementara dua adik-beradik kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya pada Jumaat lepas, ditangguhkan sehingga esok.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, permohonan itu ditangguhkan susulan kedua-dua beradik iaitu kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dan perempuan berumur dua tahun perlu menjalani pemerikaan kesihatan termasuk ujian calitan di Hospital Melaka hari ini.

“Permohonan kepada mahkamah yang sepatutnya dikemukakan hari ini dijangka dilakukan esok memandangkan keputusan ujian calitan COVID-19 hanya akan diketahui esok.

“Sekiranya keputusan ujian calitan itu negatif, maka kita akan bawa permohonan bagi mendapatkan hak penjagaan sementara dua beradik tersebut di bawah JKM kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya sehingga kes selesai,” katanya ketika dihubung Benama hari ini.

Beliau berkata, permohonan itu bertujuan memastikan kebajikan kedua-dua beradik terjaga memandangkan nenek kandung mereka turut menjaga seorang lagi cucu perempuan yang merupakan adik mereka selain keadaan warga emas tersebut yang uzur.

Jumaat lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya dalam satu kejadian di Taman Krubong Jaya di sini.

Kanak-Kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian pada kira-kira 4 petang namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin yang terletak 600 meter dari rumah nenek kandungnya pada kira-kira 12.40 tengah hari tadi. – Bernama