Banjir besar yang melanda penduduk sekitar Pekan Pahang pada akhir Disember hingga pertengahan Januari lalu. Foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kebenaran beroperasi kepada sektor pembalakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didakwa bercanggah dengan pengisytiharan darurat.

Ini kerana, penjelasan Perdana Menteri sebelum ini bahawa nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk Proklamasi Darurat dibuat bagi menangani penularan wabak Covid-19 serta bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, dalam beberapa kajian termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli Akademik Fakulti Pharmocology Universiti Teknologi Mara (UiTM), Professor Madya Datuk Dr Vellayan Subramaniam bertarikh 26 Jun 2020, yang menjelaskan bahawa Covid-19 adalah dalam kategori “zoonotic diseases”.

Zoonotic disease dahulu dianggap tidak ketara di Malaysia kerana hidupan liar dilindungi sebaiknya di hutan dan manusia tidak bertindak untuk mempunyai kontak dengan haiwan tersebut.

Tetapi berbeza dengan situasi hari ini ekoran dari pembangunan mega tanpa kawalan yang menyaksikan penebangan hutan dan pemusnahan habitat haiwan liar, maka kontak antara haiwan liar dengan manusia semakin menjadi kebiasaan.

Maka, apabila haiwan liar tertekan, ia mengeluarkan virus berbahaya/bakteria dalam badan mereka dan seterusnya boleh memberi kesan kepada kehidupan manusia.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, untuk satu jangka masa panjang, aktiviti pembalakan dan kemusnahan alam mempunyai hubungan langsung dengan bencana yang dihadapi kini iaitu penyebaran virus yang pasti akan menjejaskan kehidupan manusia.

Katanya, ABIM menegaskan bencana banjir besar yang sering berlaku berulang kali adalah berpunca dari situasi perubahan iklim yang menyebabkan berlakunya ketidaktentuan cuaca.

Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa lantas menjadi penyebab berlaku banjir besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi.

Justeru itu, katanya, pihak berkuasa dan masyarakat harus menitikberatkan isu perubahan iklim yang berlaku ini yang pasti menjadi faktor utama kepada masalah banjir.

”Sementara itu, hutan adalah kaedah paling murah dan paling berkesan dalam menangani isu perubahan cuaca dan iklim ini. Ia amat berkesan memerangkap karbon diaoksida iaitu gas yang menjadi punca kepada perubahan iklim. Perlu ditegaskan  aktiviti pembalakan yang berleluasa dan penebangan hutan tanpa kawalan adalah punca utama berlakunya perubahan iklim ini.

”Maka hutan wajib dipertahankan malah dibanyakkan lagi kawasan hutan sekiranya kerajaan semasa benar-benar serius untuk menangani isu perubahan iklim dan cuaca ini,” menurut beliau.

Lantaran itu, ABIM menegaskan sudah tiba masanya untuk kerajaan mengeluarkan satu perintah moratorium untuk menghentikan sebarang aktiviti pembalakan sebagai solusi tuntas kepada kedua-dua bencana ini yang akhirnya membebankan rakyat.

”ABIM berpandangan kerajaan persekutuan tidak seharusnya berhadapan dengan masalah untuk mengeluarkan perintah ini kepada semua negeri sekiranya kerajaan benar-benar mempunyai kemahuan politik yang tinggi.

”Ini memandangkan kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pernah mengeluarkan perintah yang sama ke atas ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri Pahang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette