Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kesal kerana terdapat mereka yang masih teruja mengejar pingat dan pangkat dalam keadaan rakyat sedang berdepan keperitan hidup.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya ghairah apabila mendapat maklumat 30,000 warga miskin di Kuala Lumpur seperti yang dimaklum oleh Menteri Wilayah Persekutuan berbanding belasan menteri dan timbalan menteri mendapat pingat gelaran Datuk Seri dan Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Tegasnya, seharusnya semua menteri dan timbalan menteri yang berjumlah 70 orang itu lebih memberi tumpuan kepada penderitaaan rakyat, bukan ghairah mendapat pingat dan gelaran.

Menurut beliau, kemiskinan bandar nampaknya semakin meningkat apabila ada warga kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan dan Covid-19.

Golongan gelandangan juga semakin terserlah di bandar besar.

”Pengangguran bandar akan menjadi parah jika usaha berkesan tidak diambil oleh pihak kerajaan.

”Kami prihatian gejala kelaparan dan trend berniat untuk bunuh diri juga bertambah di bandar. Kehidupan yang sangat tertekan dirasai oleh rakyat terutama golongan B40,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelas beliau, pakej yang diumum oleh kerajaan dalam bajet 2021 belum terlihat menyelesaikan masalah, sebaliknya. jutaan orang sedang merasai keadaan akan mungkin menjadi lebih parah.

Mohd Azmi menambah, Covid-19 jelas mendedahkan jurang kaya miskin yang semakin membesar dan golongan elit masih hidup selesa.

Secara umumnya ratusan ribu yang kini menganggur adalah dalam kalangan pekerja muda, bermakna produktiviti negara pasti menurun akibat mereka yang dibuang pekerjaan dalam pelbagai sektor adalah orang muda, ujarnya. – MalaysiaGazette