Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Sungai Udang dan Kuartes Kakitangan, Melaka akan dilaksanakan selama dua minggu, bermula 3 hingga 16 Febuari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan ini diambil berikutan peningkatan kes Covid-19.

“Sehingga 31 Januari 2021, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah melaksanakan 339 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 113 kes positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan 79 tahanan, 22 kakitangan dan 12 ahli keluarga,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD adalah sama seperti yang telah diumum sebelum ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terlibat untuk mengawal penularan jangkitan dalam komuniti.

“SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 170 kesalahan ingkar SOP gagal melakukan penjarakan sosial dikenalpasti oleh Pasukan Bertindak Operasi Pematuhan, pada Ahad.

Manakala 158 kesalahan merupakan cubaan merentas negeri tanpa kebenaran, tidak memakai pelitup muka (128), keluar rumah tanpa alasan munasabah (69), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (53) manakala lain-lain (248 kesalahan).

“Semalam, seramai 826 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 776 dikompaun manakala 50 individu direman,” tambahnya. – MalaysiaGazette