Tentera Myanmar. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu memanggil mesyuarat Menteri Luar ASEAN dalam usaha mencari penyelesaian terhadap pergolakan yang berlaku di Myanmar.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia juga perlu segera mendesak supaya semua pemimpin parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dibebaskan  dari tahanan.

Katanya lagi, tidak wajar untuk ASEAN  hanya menjadi pemerhati terhadap apa yang berlaku di Myanmar hari ini.

“Junta tentera wajar menghormati keputusan pilihan raya umum pada November lepas yang memberikan kemenangan besar kepada NLD, iaitu sebanyak 356 dari 412 kerusi.

“Malaysia perlu memanggil segera mesyuarat Menteri Luar ASEAN dan meneroka penyelesaian politik untuk Myanmar. ASEAN tidak lagi boleh hanya menjadi pemerhati pegun terhadap konflik yang membimbangkan ini,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau yang menyifatkan rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar sebagai mendukacitakan dalam masa yang sama menganggap tindakan tersebut sebagai merencatkan reformasi ke arah demokrasi di negara itu.

“Mengembalikan demokrasi dan memelihara kepentingan hak asasi manusia adalah urusan ASEAN dan ia mesti menjadi pencatur keamanan yang diyakini untuk rantau ini,” katanya lagi.

Tentera di Myanmar hari ini mengisytiharkan darurat di negara itu selama setahun selepas menangkap beberapa pemimpin NLD termasuk San Suu Kyi.

Tentera mendakwa berlaku penipuan pada pilihan raya umum pada November tahun lalu, yang memberi kemenangan besar kepada NLD pimpinan Suu Kyi. – MalaysiaGazette