Ebit Lew sedih misi bantuannya kepada rakyat tidak dibenarkan dan pembinaan sekolah ditangguhkan.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas yang juga dermawan, Ustaz Ebit Lew hari ini meminta maaf kepada penduduk di Pulau-Pulau Semporna di Sabah kerana tidak lagi dapat meneruskan misi bantuan.

Dengan nasa sayu dan sedih, beliau berkata, niatnya untuk membina sekolah di perkampungan penduduk Bajau Laut yang diIslamkannya semalam juga tidak dapat diteruskan.

Ini kerana, beliau dimaklumkan, tidak dibenarkan untuk ke pulau berkenaan dan diminta supaya memberhentikan bantuan di sekitar perkampungan itu.

“Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di Pulau-Pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah.

“Pagi ini, saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke Pulau-pulau di Semporna dan minta diberhentikan bantuan di sekitar sini.

“Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan ialah didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun,” tulis beliau menerusi Facebooknya, hari ini.

Semalam, beliau mendedahkan seramai 490 orang Bajau Laut memeluk Islam selama dua hari berada di Semporna, Sabah dalam misi bantuan Covid-19 di empat kampung di Sabah.

Beliau berkongsi perkara itu di akaun Facebook miliknya pada Selasa sambil melahirkan rasa syukur kerana dapat membimbing mereka mengucap dua kalimah syahadah.

Menurut Ebit, beliau juga terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang dirancangnya.

“Saya dah beli kayu-kayu. Saya dah kumpul tujuh orang guru. Semangat mereka nak mendidik dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf yer ustaz ustazah semua.

“Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota yang patutnya bawa kami ke Pulau-pulau. Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. Macam keluarga sendiri. Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua. Saya tidak berkecil hati perjuangan di teruskan.

“Saya akan terus ke Tawau dan tunggu penerbangan di Tawau. Sempurna sumbangan sedikit tempat di Tawau yang saya janji,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat.

Katanya, beliau serahkan segala urusan kepada Allah dan cukuplah kepada Allah orang mukmin itu berserah. – MalaysiaGazette