Sesi demonstrasi oleh penyelidik MIROS.

KUALA LUMPUR – Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) membangunkan satu teknologi berasaskan Light Detection & Ranging Technology (LIDAR) yang berupaya untuk mengesan kenderaan di hadapan dan memberi amaran kepada penunggang motosikal untuk mengelak perlanggaran dengan selamat, termasuk pada kelajuan tinggi.

Teknologi berasaskan LIDAR merupakan komponen utama Sistem Bantuan Pemandu Termaju atau Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang telah digunakan secara meluas dalam reka bentuk kenderaan beroda empat.

Ketua Pengarah MIROS, Ir. Ts. Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, kemajuan penyelidikan MIROS dalam teknologi ADAS untuk penunggang motosikal adalah satu pencapaian memberangsangkan kerana pengaplikasian teknologi ADAS sangat terhad dan tidak meluas digunakan dalam reka bentuk dan pembuatan motosikal.

Teknologi amaran perlanggaran ini telah dibangunkan dengan mengambil kira faktor berlakunya perlanggaran melibatkan motosikal di lorong kecemasan melalui dapatan analisa kes kemalangan terdahulu.

Di samping itu, faktor kesesuaian reka bentuk motosikal dan tingkah laku penunggang motosikal di Malaysia turut diambil kira untuk meningkatkan fungsi sistem dan mengurangkan penolakan penunggang motosikal dalam menggunakan teknologi ini.

Menurutnya, prinsip utama reka bentuk teknologi ini ialah berimpak tinggi, kos yang rendah, berasaskan pengguna, dan mudah dipasang melalui reka bentuk naik taraf.

”Amaran perlanggaran diberikan melalui tiga peringkat dan menekankan keupayaan untuk memastikan penunggang menyedari tepat pada masanya mengenai bahaya yang akan berlaku.

”Pendekatan reka bentuk yang digunakan juga diyakini dapat meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehsediaan teknologi ini untuk digunakan secara meluas dalam kalangan penunggang motosikal di Malaysia dalam masa yang singkat,” katanya di sini.

Mengulas penurunan kadar kematian kemalangan jalan raya pada tahun lalu sebanyak 4,634 kes berbanding 6,167 kes pada tahun 2019, Khairil Anwar berkata, meskipun penurunan kes ini adalah berikutan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, MIROS akan tetap komited dan berusaha dalam mencadangkan intervensi kemalangan jalan raya dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia. – MalaysiaGazette