Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Program vaksinasi Covid-19 di Malaysia akan berjalan mengikut jadual selepas kerajaan menerima jaminan penghantaran vaksin Pfizer dari Duta Kesatuan Eropah dan Belgium.
Pengesahan itu diperoleh susulan kenyataan  Suruhanjaya Eropah pada Jumaat lalu yang bersetuju untuk  mengawal eksport vaksin dari Kesatuan Eropah, termasuk ke Britain, dengan alasan ia perlu memastikan bekalan untuknya mencukupi.
Vaksin Pfizer dihasilkan di Belgium.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Duta Besar Belgium, Pascal Gregoire memberikan jaminan bahawa perjanjian pembelian vaksin dengan Pfizer akan dipenuhi, setelah Pfizer mengemukakan kebenaran eksport dan ia akan dihantar pada bulan ini.
“Dengan jaminan Duta Besar EU dan Belgium, rancangan imunisasi Covid-19 diharapkan dapat berjalan sesuai seperti yang dijadualkan,” kata Khairy dalam satu kenyataan.
Serentak itu, tambah beliau,  Kerajaan Malaysia meminta agar Pfizer mendapatkan kelulusan segera untuk eksport daripada Kerajaan Belgium.
Untuk rekod, penghantaran pertama satu juta dos ( untuk kegunaan seramai 500,000) vaksin Pfizer yang akan digunakan pada Tahap Satu inokulasi untuk barisan hadapan dan akan dihantar secara berperingkat pada suku pertama tahun ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan fasa pertama vaksin Pfizer yang dibangunkan bersama BioNTech akan tiba pada 26 Februari ini. – MalaysiaGazette