KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes berprofil tinggi rasuah RM2.8 juta melibatkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad ditangguh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.

Ini kerana saksi yang ke-11 bagi prosiding rasuah ini tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

Saksi ke-11 itu merupakan Pengurus Kanan Pentadbiran dan Kewangan di Yayasan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Azriman Ridouan.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam Ridha Abdah Subri ketika ditemui wartawan selepas prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob.

Jelas Ridha, prosiding sepatutnya berlangsung hari ini sehingga Jumaat ini namun terpaksa ditangguh kepada esok kerana keadaan saksi yang tidak sihat.

Dalam pada itu, Bung kelihatan cerita seperti kebiasaan dan sempat berbual dengan petugas media sebelum masuk ke dalam kereta bersama-sama Zizie.

Pada 3 Mei tahun lalu, Bung ,61, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie ,42,.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie atas sebab yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat yang sama pada 19 Jun 2015.

Zizie juga mengaku tidak bersalah atas tiga kesalahan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama. -MalaysiaGazette