Beberapa ekor kucing kelihatan pada hari ke-42 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Harian Selayang, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 28 APRIL 2020

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung peningkatan mendadak wabak Covid-19 telah mula dikuatkuasakan oleh Kerajaan Malaysia bermula 13 Januari yang lalu dan dijadualkan akan tamat pada 4 Februari ini sekiranya tiada sebarang lanjutan yang diberikan. Tidak dinafikan, terdapat banyak pihak yang terkesan daripada penguatkuasaan PKP ini terutamanya sektor-sektor ekonomi yang tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan penting mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP yang telah ditetapkan oleh
Majlis Keselamatan Negara.

Susulan daripada itu, terdapat peniaga-peniaga yang terpaksa
menutup perniagaan mereka oleh kerana masalah aliran tunai yang berpunca daripada kekurangan pelanggan yang mengunjungi premis dan menggunakan perkhidmatan mereka.

Kesan PKP Terhadap Haiwan Jalanan

Selain daripada manusia, terdapat juga makhluk lain yang terkesan secara langsung atau tidak langsung daripada penguatkuasaan PKP. Masyarakat sering terlepas pandang mengenai kesusahan dan penderitaan yang perlu dilalui oleh kumpulan ini. Makhluk yang dimaksudkan adalah haiwan jalanan seperti kucing dan anjing liar yang tidak mempunyai tuan dan tempat tinggal. Walaupun berlainan spesies daripada manusia, haiwan jalanan juga merupakan makhluk yang mempunyai keperluan asas yang perlu dipenuhi tertutamanya makanan.

Seperti yang diketahui umum, haiwan jalanan yang biasanya berkeliaran di premis-premis penjualan makanan serta pasar-pasar akan mendapatkan sumber makanan daripada hasil
pemberian orang awam yang prihatin terhadap keperluan mereka. Di samping itu, haiwan-haiwan ini juga akan mencari sendiri sumber makanan daripada sisa-sisa makanan di tempat
pembuangan sampah.

Penutupan premis-premis penjualan makanan serta SOP yang hanya membenarkan penjualan makanan secara dibungkus telah memberikan kesan kepada haiwan-haiwan jalanan ini. Tidak
seperti sebelum PKP dilaksanakan, haiwan jalanan akan mendapat kuantiti makanan yang amat terhad kerana pengunjung-pengunjung premis penjualan makanan telah berkurang. Sekiranya mereka tidak bernasib baik, mereka mungkin tidak akan mendapat makanan langsung jika premis penjualan makanan terpaksa ditutup akibat kekurangan pelanggan.

Sehubungan itu, haiwan jalanan ini mungkin terpaksa berlapar atau mencari sumber makanan di tempat lain terutamanya di kawasan-kawasan perumahan. Hal ini akan menyebabkan konflik di antara haiwan jalanan ini dengan penduduk setempat. Konflik ini mungkin akan berakhir dengan campur tangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan menangkap dan memindahkan mereka ke tempat yang lain sekiranya terdapat aduan yang diterima oleh PBT. Selain daripada sumber makanan, kebajikan haiwan jalanan juga perlu dipenuhi dari segi kesihatan dan kebersihan. Seperti yang kita tahu, haiwan jalanan amat terdedah kepada risiko untuk mendapat jangkitan penyakit seperti penyakit kulit kerana mereka sering terdedah kepada keadaan yang kurang bersih. Ini berpunca daripada ketiadaan tempat tinggal yang tetap.

Justeru, di dalam keadaan PKP ini, kebajikan mereka dari segi kesihatan juga akan semakin terjejas disebabkan mereka akan berpindah ke tempat lain daripada tempat tinggal biasa mereka yang mungkin berada di dalam keadan kurang bersih. Haiwan jalanan juga terdedah dengan risiko untuk termakan makanan yang sudah diletakkan racun oleh pihak-pihak yang tidak senang akan kehadiran mereka di kawasan-kawasan perumahan yang akan memberikan kesan yang teruk kepada kesihatan mereka dan juga boleh membawa kepada kematian haiwan jalanan tersebut.

Peranan Masyarakat dan Organisasi Dalam Menjaga Kebajikan Haiwan Jalanan

Di dalam situasi PKP yang amat genting ini, adalah perlu untuk menyingkap kembali kepada titah DYMM Sultan Selangor yang telah dikeluarkan oleh pejabat baginda pada 23 Januari lalu.
Titah baginda telah menyentuh secara langsung berkaitan kebajikan haiwan jalanan yang dilihat semakin tidak terbela sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. Baginda telah menegur masyarakat yang dilihat mengambil kesempatan sepanjang  tempoh PKP untuk berlaku kejam terhadap haiwan jalanan dan serta mengabaikan tanggungjawab di dalam melindungi haiwan jalanan.

Dalam pada itu, titah baginda juga telah menyentuh tentang peranan PBT untu lebih proaktif dan bijak menangani isu haiwan terbiar ini secara holistik, dan bukan memberi gambaran
buruk yang akhirnya akan menyebabkan haiwan-haiwan ini dikurung atau dibunuh. Setelah diteliti secara halus, teguran baginda ini amat dihargai di dalam konteks penjagaan kebajikan
haiwan jalanan kerana ia menunjukkan keprihatinan baginda di dalam isu kebajikan haiwan jalanan. Bagi mengambil iktibar daripada titah DYMM Sultan Selangor tersebut, adalah dicadangkan agar masyarakat awam serta PBT untuk berganding bahu di dalam menjaga kebajikan haiwan jalanan yang terdapat di dalam lokaliti masing-masing.

Perbincangan dan penyelarasan bersama Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran menjalankan aktiviti berkaitan kebajikan haiwan jalanan juga perlu dilakukan agar suatu pelan tindakan dapat dibentuk di dalam mengurus isu kebajikan haiwan jalanan khususnya sepanjang pelaksanaan PKP.
Sekiranya kerjasama di antara masyarakat serta organisasi-organisasi yang terlibat di dalam kebajikan haiwan ini dapat dibentuk maka adalah tidak mustahil kita akan dapat menemukan
kaedah-kaedah bagi mengurus isu berkaitan kebajikan haiwan jalanan. Dengan kerjasama ini juga, pihak-pihak yang terlibat juga dapat menentukan peranan masing-masing di dalam
melaksanakan kaedah-kaedah yang telah dipersetujui tersebut.

Tuntasnya, kebajikan haiwan jalanan perlulah diberikan perhatian secara menyeluruh oleh semua pihak yang terlibat sama ada masyarakat awam, PBT atau NGO kerana mereka tidak
dapat hidup tanpa sebarang bantuan tertutamanya makanan yang diberikan oleh manusia. Hal ini kerana, sifat semula jadi haiwan jalanan ini tidak seperti haiwan liar yang mampu untuk
mencari atau memburu makanan mereka sendiri. Titah DYMM Sultan Selangor berkenaan kepentingan penjagaan kebajikan haiwan jalanan semasa pelaksanaan PKP perlulah dijunjung
dan diteliti oleh semua pihak kerana memberikan belas ihsan kepada haiwan adalah perbuatan yang amat mulia serta melambangkan ketamadunan sesuatu bangsa dan negara.

Mohamad Kamal Sodiqin Abdull Manaf
Pelajar Sarjana Undang-Undang Antarabangsa,
Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia