Sempena pelantikannya sebagai duta Seri Lady, Intan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

KUALA LUMPUR – Menjelang hari bahagianya minggu ini, aktres Intan Ladyana melakukan satu usaha murni, dengan menghulurkan sumbangan kepada komuniti ibu tunggal yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif itu dilakukan Intan atau nama sebenarnya, Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, bersempena menzahirkan rasa syukur d atas pelantikannya sebagai duta produk kesihatan dan kecantikan, Seri Lady.

“Dalam rezeki saya ada rezeki orang lain. Siapa sangka dalam kesibukan kerja dan membuat persiapan perkahwinan, saya dilamar pula menjadi duta produk Seri Lady.

“Jadi saya terfikir apa salahnya jika saya infaqkan sedikit rezeki yang Allah SWT beri untuk dikongsi bersama golongan yang memerlukan. Semoga kehidupan dan perkahwinan saya memperoleh keberkatan.

“Inilah yang membuatkan saya dan pihak Seri Lady terpanggil untuk memberi sumbangan berupa produk dan wang tunai untuk komuniti ibu tunggal yang terpilih. Mereka ini antara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya sendiri dibesarkan oleh seorang ibu tunggal. Saya nampak macam mana ibu saya struggle untuk membesarkan kami tiga beradik. Bagaimana ibu bahagikan masa untuk keluarga dan pada masa sama bekerja demi kelangsungan hidup. Jadi saya faham masalah yang dihadapi oleh kebanyakkan ibu tunggal. Dikesempatan ini saya cuba untuk membantu mereka sedikit sebanyak yang saya mampu,” katanya.

Intan melayani adik Amin Sabri Jamsari, 7 tahun, yang menghidap epilepsi.

Intan turut meluahkan rasa terharunya apabila pihak Seri Lady, bukan saja mempercayainya untuk menggalas tugas sebagai duta kepada jenama berkenaan, malah amat mendukung usahanya untuk sama-sama menjayakan majlis Kunjungan Silaturahim Seri Lady dan Duta Intan Ladyana Menyantuni Ibu Tunggal.

Menurut Pengasas Seri Lady, Juzailah Shariff, jasa ibunya membesarkan dia dan adik-beradik sehingga mencapai ke tahap hari ini tanpa figura seorang ayah di sisi tidak mampu di balas dengan wang ringgit.

“Sama seperti Intan, saya nampak kepayahan Ummi saya membesarkan kami adik-beradik yang lain tanpa seorang suami di sisi. Kehidupan yang lebih baik kami miliki hari ini, segalanya adalah atas usaha dan pengorbanan ummi.

“Kalau bukan kerana virus Covid-19 pun, kehidupan ibu tunggal sememangnya sudah cukup mencabar dalam memegang peranan ibu dan ayah untuk membesarkan anak-anak. Apa lagi dalam keadaan sekarang ini, hilang punca pendapatan. Justeru itu kami amat berbesar hati dapat memberi sedikit sumbangan kepada mereka.

“Saya juga ingin ucapkan tahniah kepada Intan diatas perlantikan sebagai duta Seri Lady. Orangnya cantik, personaliti juga menyenangkan dan bebas gosip, membuatkan saya yakin Intan mampu menggalas tugas beliau dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette

Intan Ladyana (kiri) dan Juzailah Shariff menyampaikan sumbangan kepada golongan ibu tunggal yang terjejas akibat pandemik Covid-19.