Jawatankuasa Penganjur Olimpik Musim Sejuk Beijing berikrar untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pihak penyiar memandangkan mereka kumpulan pelanggan penting bagi temasya sukan itu.

BEIJING – Jawatankuasa Penganjur Olimpik Musim Sejuk Beijing berikrar untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pihak penyiar memandangkan mereka kumpulan pelanggan penting bagi temasya sukan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Cai Qi berkata demikian dalam ucapannya pada Persidangan Penaja Penyiaran Sedunia (WBC) 2021 yang diadakan secara maya pada Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi Suruhanjaya Parti Komunis China Beijing itu turut menjelaskan bahawa WBC merupakan wahana penting bagi jawatankuasa penganjur mengadakan interaksi dengan penaja penyiaran.

Justeru katanya, sidang itu memberikan ruang bertukar-tukar pandangan dengan pelbagai pihak untuk memastikan perkhidmatan yang lebih komprehensif dan cekap.

Menjelang setahun sebelum perasmian kejohanan itu, Cai berkata kerjasama rapat akan dijalankan dengan pelbagai pihak termasuk penaja penyiaran untuk berusaha bersama-sama menjayakan temasya tersebut, di samping membawa harapan mengatasi wabak COVID-19 kepada seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Olympic Broadcasting Services (OBS) Yiannis Exarchos pula berkata pembinaan gimnasium dan gelanggang acara sedang berjalan lancar, sementara pelbagai kerja lain turut dilaksanakan mengikut jadual.

Sehubungan itu, beliau yakin Olimpik Musim Sejuk 2022 dapat dianjurkan dengan jayanya di Beijing

Persidangan penaja kali ini, menyaksikan pegawai-pegawai berkaitan dari Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dan OBS mengadakan interaksi secara terperinci mengenai pembinaan infrastruktur, operasi media dan perkhidmatan penaja penyiaran.- BERNAMA