azizi safar
Azizi Safar

GEORGE TOWN –  Tindakan kerajaan Pulau Pinang mengumumkan projek mengubahsuai serta membesarkan pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang menelan kos hampir RM5 juta dikatakan tidak sesuai ketika negara berdepan cabaran ekonomi tidak menentu susulan pandemik Covid-19.

Penganalisis politik, Azizi Safar menegaskan kerajaan DAP sepatutnya mencari solusi menangani Covid-19 yang kini masih berstatus zon merah di Pulau Pinang.

Katanya, pengumuman Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu bukannya solusi memerangi Covid-19 sebaliknya lebih kepada keselesaan Exco sahaja.

“Kerajaan negeri dijangka mengalami defisit RM403.8 juta, ini sekali gus membuktikan tiada keperluan untuk ubah suai pejabat Exco secara besar-besaran.

“Adakah Exco perlukan pejabat yang lebih luas dan mewah untuk petunjuk prestasi utama (KPI) sedangkan mereka tidak berurusan dengan rakyat di pejabat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Azizi, kenyataan Kon Yeow bahawa projek ubah suai itu akan membantu meransang ekonomi negeri kontraktor adalah sesuatu yang karut.

“Kos hampir RM5 juta yang diperuntukan untuk ubah suai itu boleh digunakan untuk projek-projek berkepentingan buat rakyat, ia sekali gus membolehkan lebih ramai kontraktor terlibat dalam projek tersebut,” ujarnya.

Semalam, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan projek mengubahsuai serta membesarkan pejabat exco kerajaan negeri di Komtar dengan kos hampir RM5 juta.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pejabat exco tidak diubah sejak 1986 iaitu setahun selepas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) siap dibina.

Katanya, kos keseluruhan untuk mengubah suai pejabat exco di aras 52 dan 53, termasuk memindahkan pejabat berkenaan ke aras 31 untuk sementara waktu, akan menelan belanja kira-kira RM4.95 juta.

“Projek yang diluluskan dalam tender terbuka itu akan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur sewajarnya.

“Projek itu juga akan memacu ekonomi dengan membantu pembida yang berjaya dalam pandemik ini,” katanya. – MalaysiaGazette