Pasukan SEAL TNB bersama Polis IPD Serdang serbu sebuah premis mencuri elektrik untuk kegiatan perlombongan haram BitCoin di Putra Permai Seri Kembangan malam tadi.

SERI KEMBANGAN – Kegiatan haram satu sindiket warga tempatan yang mencuri tenaga elektrik dalam skala besar untuk menjalankan perlombongan haram BitCoin terbongkar hari ini.

Bunyi bising serta bayangan warna oren dari bilik kedap bunyi di lapan premis Blok B Atmosphere, Pusat Perniagaan Bandar Putra Permai, di sini membawa kepada pembongkaran operasi itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, polis menerima aduan daripada seorang perempuan yang terdengar bunyi pelik dan cahaya berwarna oren yang datang dari premis terbabit.

Bertindak atas maklumat itu, katanya, pasukan polis bahagian jenayah diketuai Deputi Superintendan Akmal Rizal bergegas ke pusat komersial itu, belakang sebuah pasaraya dan menjalankan risikan sejak tiga hari lalu.

“Hasil risikan mengesahkan wujud kecurian tenaga elektrik seperti yang disyaki oleh anggota penguatkuasa polis dan menemui sambungan wayar elektrik yang tidak sah pada kesemua lapan premis di blok tersebut.

“Seterusnya pasukan polis berjaya mengesan bunyi pelik yang kuat itu sebelum memecah masuk pintu besi dan menuju ke tingkat satu terletak kesemua lapan premis itu sebelum menemui sejumlah 46 hingga 90 mesin perlombongan haram BitCoin setiap bilik dalam kesemua lapan premis tersebut yang ditinggalkan kosong dan suspek terlibat kegiatan itu tidak ada di situ,” katanya dalam kejayaan serbuan Ops Api malam tadi.

Pasukan SEAL TNB bersama Polis IPD Serdang diketuai ACP Razali Abu Samah menyerbu sebuah premis mencuri elektrik untuk kegiatan perlombongan haram BitCoin di Pusat Komersial Putra Permai Seri Kembangan malam tadi.Foto MalaysiaGazette

Operasi berkenaan turut disertai sepasukan SEAL Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik yang dicuri oleh sindiket perlombongan BitCoin itu.

Tambah Razali, dalam operasi itu polis merampas 613 mesin perlombongan BitCoin untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, premis yang disewa oleh sindiket itu telah diubahsuai bagi menjalankan operasi haram perlombongan BitCoin.

“Bagi mengelak kegiatan haram di sisi undang-undang Malaysia ini dihidu pihak berkuasa, sindiket ini memasang pintu yang direka khas dengan pengedap bunyi bising mesin perlombongan BitCoin itu apabila polis menemui lapisan asbestos dan kayu tebal pada bilik rahsia operasi perlombongan itu yang berjaya dibongkar.

“Modus Operandi sindiket ini beroperasi enam bulan dan sepanjang tempoh itu setiap premis terlibat dalam kegiatan perlombongan untuk menghasilkan satu unit BitCoin dengan mencuri elektrik dalam skala besar

“Mengikut harga pasaran semasa, seunit BitCoin dianggarkan bernilai RM153,000 dan sindiket ini berani melakukan kegiatan haram itu tanpa mempedulikan risiko undang-undang,” ujar beliau.

Menurut Razali, TNB mengalami kerugian sebanyak RM300,000 sebulan akibat aktiviti curi tenaga elektrik di lapan premis itu dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM1.8 juta untuk tempoh enam bulan.

Bagaimanapun, jelasnya, penyewa premis itu hanya melunaskan bil dengan caj RM7 sedangkan amaun elektrik yang dicuri adalah kira-kira 300 Megawatt.

Kata beliau, polisĀ akan memburu suspek yang terlibat kegiatan haram itu menerusi rekod pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Tempatan di daerah itu.

“Kes disiasat dan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 427 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau 10 tahun penjara atau kedua-dua sekali dan kami memohon orang awam terus bertindak bijaksana dan bekerjasama dengan polis untuk membongkar kegiatan-kegiatan haram pelbagai bentuk yang dilakukan di daerah ini,” ujar beliau.

Razali yakin mereka yang terlibat dengan kegiatan tersebut dapat dijejaki menerusi perjanjian sewaan yang dilakukan dengan pemilik premis. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Buat kerja haram tapi bit coin itu tidak haram. Dengan sebab itu hasil halal pun berubah jadi haram.

Comments are closed.