Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 jenis barangan dikenalpasti dalam perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina (SHMMP) 2021 yang akan disambut pada 12 Februari 2021 di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, skim itu juga secara tidak langsung dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sebanyak 16 jenis barangan bagi pelaksanaan skim ini telah dikenalpasti iaitu antaranya ayam, telur ayam, sayuran, hasil laut dan daging babi.

“Harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan adalah bersesuaian dengan trend harga semasa dan semasa menjelangnya hari perayaan.

“Selain itu, terdapat juga harga yang ditentukan adalah lebih rendah dan kekal sepertimana pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas yang lalu,” katanya ketika pengumuman Skim Harga Maksimun Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2021 menerusi Facebook.

Menurut Alexander, tarikh berkuat kuasa skim ini adalah dari 8 hingga 16 Februari ini dan tempoh kuat kuasa bagi SHMMP Tahun Baru Cina adalah selama sembilan hari iaitu selama empat hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan empat hari selepas hari perayaan.

KPDNHEP juga telah menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat harga dari punca-punca berikut antaranya pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun 2020 dan pada bulan Januari lalu berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNHEP.

Sementara itu, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri akan dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

Sekiranya terdapat peniaga yang dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi yang berlebihan, Kementerian boleh bertindak di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 yang mula kuatkuasa pada 6 Jun 2018.

Seterusnya, notis di bawah Seksyen 21 Akta akan turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak bagi mendapatkan penjelasan.

Antara penalti yang akan dikenakan, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 dan pihak syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Manakala bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan pihak syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000. -MalaysiaGazette