Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan  Diraja (RCI) bagi menyiasat beberapa perkara yang dibangkitkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya My Story: Justice in the Wilderness.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, terdapat tujuh perkara asas mewajarkan penubuhan RCI termasuk penyalahgunaan kuasa dalam isu perlantikan hakim.

Menurut beliau, dalam hal tersebut, Tommy mengakui mempengaruhi pemilihan dan penetapan Hakim-Hakim Kanan termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak serta Hakim Mahkamah Persekutuan.

Katanya, ia dilakukan melalui beberapa siri perbincangan bekas peguam negara itu bersama Perdana Menteri sedangkan beliau bukan Ahli Suruhanjaya Perlantikan Hakim, dan tindakan tersebut jelas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Akta 695) 2009.

Asyraf berkata, berikutan pendedahan Tommy juga, siasatan RCI harus disekalikan dengan dakwaan salah laku kehakiman yang terkandung dalam afidavit yang difailkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer pada tahun 2019 sebagaimana desakan yang sama dibuat SUARAM.

“Pendedahan Tommy Thomas juga menzahirkan wujudnya campur tangan yang jelas Perdana Menteri ketujuh, Tun Mahathir Mohamed ke dalam badan pengadilan dan kehakiman.

“Ini jelas bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, bekas peguam negara itu juga melakukan pendakwaan terpilih secara tidak adil apabila beliau bertindak menggugurkan pendakwaan bahkan menarik balik kes yang sedang dibicarakan melibatkan kes rasuah pemimpin tertinggi Lim Guan Eng.

Katanya, tindakan itu dibuat walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengakui mereka mempunyai kes terhadap mantan Menteri Kewangan itu. I

“Ini tidak termasuk sejumlah besar kes-kes lain yang ditarik balik melibatkan pimpinan PH seperti R. Sivarasa, Rafizi Ramli, N. Surendran, Thomas Su Keong Siong, Hassan Karim dan ramai lagi.

“Tommy Thomas juga bertindak menghentikan prosiding undang-undang ke atas 12 individu termasuk 2 pimpinan DAP yang didakwa menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) walaupun pihak PDRM mempunyai kes terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Asyraf berkata, penubuhan RCI juga penting untuk menyiasat pelanggaran Sumpah Kerahsiaan Jawatan dan Akta Rahsia Rasmi (Akta 88) 1972.

Pelanggaran itu berlaku apabila Tommy  mendedahkan kepada umum di dalam bukunya mengenai isi kandungan perbincangan dan konsultasi beliau selaku Peguam Negara bersama Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang diklasifikasikan sebagai sulit.

Menurut Asyraf, di dalam buku tersebut Tommy juga mengakui bahawa beliau ‘melobi’ jawatan Peguam Negara sejak sebelum Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 pada tahun 2013.

Beliau juga mengakui telah mendapatkan sokongan mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang bagi jawatan ini dan memaklumkan Dr Mahathir selepas kemenangan PRU – 14 pada tahun 2018.

“Beliau juga secara langsung ataupun tidak menzahirkan kecenderungan politiknya hingga mencairkan prinsip keadilan dalam melakukan pendakwaan terpilih bersifat politik terhadap pemimpin-pemimpin yang berbeza ideologi politik dengan beliau,” katanya lagi.

Asyraf turut menarik perhatian isi kandungan buku tersebut yang dilihat memperlekeh dan mendakwa pegawai-pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara terlalu birokratik, makan gaji, dan tidak mempunyai komitmen, kompetensi dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Dakwaan itu, katanya, amat serius hingga mampu memberi impak negatif daripada kaca mata rakyat terhadap badan perundangan negara yang seharusnya menjadi benteng keadilan buat mereka.

Sehubungan dengan itu, katanya, Pemuda UMNO mendesak ditubuhkan RCI untuk menyiasat isu yang dibangkitkan berpandukan kepada tujuh asas utama bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang mempertahankan kedaulatan undang-undang tidak terhakis. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Berjayakah usul tersebut jika ada sebilangan yg terkait turut berada dlm kerajaan PN hari ini?

  2. Justice in the Wilderness = Kemunduran Keadilan ungkit padahnya masih ikhtiraf buruh warga asing menguntungkan ekonomi penjajah British dijadikan warga tempatan.

Comments are closed.