Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak bermula 6 sehingga 19 Febuari 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, pelaksanaan perintah itu dibuat berdasarkan laporan kes jangkitan Covid-19 di sekolah itu.

“Sehingga 2 Februari 2021, KKM telah melaksanakan 81 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 24 kes positif Covid-19  serta baki dua sampel masih menunggu keputusan,” katanya menerusi kenyataan media berkaitan perkembangan PKP.

PKPD turut dilaksanakan di Kampung Sebako 1 & 2, Lundu, Sarawak untuk tempoh yang sama.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 790 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 31 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melakukan saringan secara bersasar di kedua-dua lokaliti dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail memaklumkan PKPD di Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir, Dalat, Sarawak yang sepatutnya tamat pada 10 Febuari ini, dilanjutkan sehingga 16 Febuari.

Katanya, ini berikutan sejumlah 2,021 sampel saringan ujian Covid-19 yang masih menunggu keputusan.- MalaysiaGazette