Gambar hiasan

MUTAKHIR ini negara kita dikejutkan dengan peningkatan peratusan penyakit Wabak Covid-19 yang meningkat secara mendadak. Peningkatan yang terlalu drastik ini menyebabkan
kerajaan terpaksa menjalankan dan mengetatkan penguatkuasaan undang undang dalam mengawasi pergerakan rakyat bagi membasmi penularan wabak ini. Wabak Covid 19 amat bahaya kerana ia boleh menyebabkan keradangan di dalam immunisasi badan manusia, malah jika tidak terkawal, ia akan membawa kepada kematian.

Golongan berisiko termasuklah mereka yang mempunyai penyakit kronik yang sedia ada, kanak kanak, orang tua serta ibu mengandung. Mereka merupakan antara individu yang mempunyai keimunisasian badan yang rendah. Oleh itu, langkah-langkah pencegahan perlulah dilakukan sebelum golongan ini
dijangkiti wabak ini. Ibu merupakan insan yang sangat istimewa yang diberi keistimewaan oleh Allah SWT untuk mengandung dan melahirkan anak. Malah, seorang ibu tempatnya sangat mulia disisi Allah setanding dengan pengorbanannya yang mengandung, melahirkan, menyusukan dan menjaga anak serta menguruskan hal ehwal rumah tangga. Ada kalanya ibu terpaksa mengorbankan nyawa dan kesihatan diri sendiri demi menyelamatkan anak dalam kandungannya.

Peningkatan hormon estrogen dan progesteron berlaku semasa ibu mengandung, menyebabkan berlakunya perubahan di dalam tubuh badan termasuklah bahagian gigi dan mulut. Keadaan yang tidak stabil pada ibu mengandung terutamanya pada trimester pertama iaitu tiga bulan dalam kandungan menyebabkan berlaku perubahan pada seorang ibu. Secara kebiasaannya, akibat perubahan hormon ini, ibu berasa loya dan kerap
muntah dan secara tidak langsung menyebabkan pengabaian aspek kebersihan mulut.

Terdapat dua masalah utama pergigian yang sering dihadapi oleh ibu yang mengandung iaitu karies gigi dan penyakit gusi. Kajian menunjukkan hampir 90% hingga 100% ibu mengandung menghadapi masalah karies dan penyakit gusi semasa tempoh
kandungan mereka (Yunita et al. 2020). Karies gigi adalah masalah gigi berlubang yang disebabkan oleh asid yang dihasilkan oleh bakteria akibat fermentasi gula di dalam mulut. Ia
menyebabkan rasa sakit dan nyilu terutama ketika makan apabila karies merebak kebahagian kedua gigi iaitu dentin. Antara faktor yang dikaitkan dengan masalah ini adalah disebabkan
perubahan pola pemakanan ibu yang lebih gemar memakan makanan tinggi gula dan berasid bagi mengurangkan simptom alahan semasa mengandung.

Kadar kejadian karies meningkat pada ibu mengandung disebabkan oleh keadaan mulut yang lebih berasid akibat peningkatan kekerapan muntah serta perubahan horman. Walau bagaimanapon, faktor utama adalah disebabkan pengabaian penjagaan kebersihan mulut akibat alahan pada peringkat awal
kehamilan. Ini menyebabkan plak gigi banyak terkumpul seterusnya menggalakkan pembentukan karies. Rawatan tampalan adalah disarankan bagi mengelakkan komplikasi
rawatan kompleks atau dicabut. Keadaan ini sudah tentu menyebabkan ketidakselesaan serta emosi mereka terganggu jika tidak dirawat.

Selain karies, ibu mengandung juga kerap mengalami masalah gusi. Terdapat dua penyakit utama berkaitan gusi iaitu gingivitis dan periodontitis. Jika karies gigi terjadi akibat pengumpulan plak di permukaan gigi, penyakit gusi pula disebabkan pengumpulan plak di kawasan gusi akibat pemberusan tidak sempurna atau pengabaian kebersihan mulut. Tanda-tanda penyakit ini ialah pembengkakan gusi, gusi merah dan berdarah selain mulut yang
berbau. Jika masalah dikesan pada peringkat awal iaitu gingivitis, rawatan awal mampu mengembalikan kesihatan gusi. Namun, jika dikesan di peringkat lebih lanjut atau dikenali sebagai periodontitis, kehilangan tulang penyokong gigi sudah berlaku dan jika dibiarkan tanpa rawatan, gigi akan beralih, goyah dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Kedua-dua masalah di atas dikesan menjadi penyumbang utama kepada kehilangan gigi di kalangan ibu mengandung. Kebanyakan ibu-ibu mengandung, takut mendapatkan rawatan kerana mereka beranggapan rawatan pergigian tidak boleh dilakukan semasa
megandung selain menggangap penyakit pergigian adalah norma biasa ketika kehamilan. Hakikatnya ibu-ibu digalakkan mendapatkan pemeriksaan gigi di peringkat awal kehamilan
agar masalah gigi dan gusi dapat dikesan awal dan rawatan dapat diberikan agar tidak mendapat komplikasi semasa proses akhir kehamilan Tanggapan salah ini telah menyebabkan perebakan penyakit terutamanya penyakit gusi yang diketahui secara saintifik mempunyai kaitan dengan kelahiran bayi pramatang dan kelahiran bayi yang kurang berat (Offenbacher et al. 2001). Bakteria yang bertanggungjawab menyebabkan penyakit gusi akan tersebar melalui saluran darah gusi ke sistem darah badan ibu dan seterusnya ke saluran darah uri dan menyebabkan kontraksi pramatang dan menggangu tumbesaran bayi dalam kandungan.

Kesemua komplikasi di atas dapat dielakkan dengan melakukan pemeriksaan pergigian di peringkat awal kehamilan dan mendapatkan rawatan selanjutnya jika bermasalah. Malah, pemeriksaan ini sememangnya satu keperluan yang terdapat di dalam buku temujanji ibu mengandung di klinik kerajaan mahupon swasta. Oleh itu, ibu mengandung disaran tidak takut untuk mendapatkan rawatan dan jangan menunggu sehingga
saat akhir kehamilan kerana ia bakal memberikan implikasi lebih buruk pada kegigian dan berpotensi memberi risiko kepada kandungan. Semasa waktu pandemik ini, ibu mengandung
disaran untuk menjaga kebersihan gigi dan mulut demi menjaga kesihatan diri dan anak dalam kandungan. Wallahualam.

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia.

Dr Wan Nur Alwani bt Wan Abdul Aziz
Pensyarah dan Pakar Periodontik
Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia