Ribuan penyokong Alexei Navalny menyertai protes pada 23 dan 31 Januari lalu. foto Agensi

MOSCOW – Rusia telah mengusir tiga diplomat, masing-masing dari Jerman, Sweden dan Poland kerana menyertai tunjuk perasaan yang menyokong pemimpin pembangkang Alexei Navalny, yang dipenjara awal minggu ini.

Kementerian luar negeri Rusia memaklumkan ketiga-tiga mereka mengambil bahagian dalam “demonstrasi haram” pada 23 Januari lalu.

Negara-negara asal diplomat berkenaan mengecam pengusiran tersebut termasuk juga United Kingdom, Perancis dan Kesatuan Eropah.

Navalny adalah pengkritik keras Presiden Rusia Vladimir Putin.

Pengusiran itu diumumkan hanya beberapa jam setelah ketua urusan luar negara EU, Josep Borrell bertemu Menteri Luar Negeri Rusia, Sergei Lavrov di Moscow.

Ratusan ribu orang telah mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan menyokong Navalny di seluruh Rusia pada 23 dan 31 Januari.

Dalam tunjuk perasaan itu, ribuan orang ditangkap.

Jerman mengecam pengusiran itu sebagai tindakan “tidak sepatutnya” .

Sweden pula berkata, dakwaan bahawa diplomatnya mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan pada 23 Januari adalah tidak berasas dan mengatakan pihaknya berhak mendapat respons yang sewajarnya.

Poland mengatakan pengusiran itu dapat menyebabkan “krisis dalam hubungan dua hala semakin ketara”. – MalaysiaGazette