Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A'zlan Abu Bakar mengisi minyak penghantar makanan secara percuma di Petaling Utama, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 FEBRUARI 2021.

PETALING JAYA – Lebih 50,000 penghantar makanan yang terdiri daripada penunggang dan pemandu di seluruh negara mengeluh berikutan kenaikan harga petrol sejak beberapa minggu lalu.

Ini kerana kenaikan bahan api yang diumumkan sejak kebelakaangan ini memberi kesan ekonomi kepada pengusaha penghantar makanan (P-Hailing) yang kebanyakannya dalam kalangan golongan B40.

Muhammad Zulhelmi Mansor

Presiden Persatuan Penghantar P-Haling Malaysia, Muhammad Zulhelmi Mansor berkata, kenaikan harga petrol menyukarkan kehidupan pengusaha P-Hailing yang sememangnya menggunakan bahan api dalam kerjaya seharian mereka.

Katanya, meskipun kadar kenaikan itu tidaklah begitu tinggi namun ia tetap mengganggu duit poket pengusaha P-Hailing yang menjadikan jalan raya sebagai medan mencari rezeki setiap hari.

“Dalam keadaan rakyat Malaysia dan juga riders (penunggang) P-Hailing khasnya yang ketika ini menanggung beban masalah ekonomi yang kritikal, kami tidak bersetuju sama sekali dengan kenaikan harga petrol ini.

“Perkara ini telah menimbulkan kegusaran terutamanya kepada riders P-Haling, yang mana kita maklum petrol adalah kos utama operasi mereka.

“Dalam keadaan kadar pendapatan mereka yang tidak menentu, kadar upah bayaran tidak berbaloi, ditambah lagi dengan lambakan riders, sudah tentu kenaikan harga minyak ini menambahkan lagi kesan negatif terhadap pendapatan mereka,” katanya ketika ditemui pada Program Isi Minyak Percuma untuk penunggang P-Haling di sini hari ini.

Sehubungan itu, Muhammad Zulhelmi mendesak kerajaan mengkaji semula kenaikan harga minyak itu, selain mencari inisiatif dalam membantu golongan penunggang P-Haling yang terkesan lebih-lebih ketika pandemik Covid-19 yang masih belum berkesudahan.

A’zlan Abu Bakar

Sementara itu, Presiden Gerakan Tuntut Malaysia, A’zlan Abu Bakar berkata, kenaikan harga minyak ini sememangnya tidak patut berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Katanya, kerajaan perlu mengambil serius terhadap perkara itu memandangkan trend kenaikan harga petrol telah berlaku sejak November tahun lepas.

Ujarnya, meskipun alasan boleh diberi bahawa kenaikan bahan api ada kaitan dengan harga pasaran minyak dunia tetapi keadaan itu adalah sekata.

“Tuntut dengan ini mendesak kerajaan supaya tidak lagi menaikkan harga minyak bermula minggu depan sehingga negara tidak lagi dikenakan segala jenis perintah pergerakan.

“Jika hendak membantu rakyat dan prihatin, kerajaan kena laksanakan perkara ini secara serius. Kerajaan perlu beri subsidi. Tiada sebab atau alasan harga minyak ini dinaikkan,” ujarnya. –

Sementara itu, dalam perkembangan lain Zulhelmi menggesa kerajaan memandang lebih serius berkaitan isu pemandu mabuk yang sering kali menyebabkan kemalangan hingga berlaku kematian terutama melibatkan penunggang P-Hailing.

Katanya, Kementerian Pengangkutan perlu menggubal satu undang-undang melibatkan pemandu mabuk itu dengan segera tanpa menjadikan alasan tempoh PKP menyebabkan undang-undang itu dilengahkan untuk dilaksanakan.

“Semalam seorang rider Food Panda telah meninggal dunia akibat kejadian langgar lari di Seri Kembangan.

“Perkara ini bukanlah pertama kali berlaku dan persoalannya sampai bila kita hendak berdiam diri. Tidak kasihankah kerajaan dengan golongan riders yang sememangnya menjadikan jalan raya sebagai periuk nasi mereka setiap hari,” tambahnya. – MalasyiaGazette