Peniaga ikan di Pasar Awam Sri Aman, Relau bukan saja tidak mematuhi SOP malah turut merokok.

GEORGE TOWN – Walaupun sudah setahun Covid-19 melanda negara namun masih ada segelintir peniaga pasar awam yang degil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Sri Aman di Relau hari ini mendapati peniaga bersikap sambil lewa dalam mengamalkan SOP.

Seorang peniaga pasar awam di Sri Aman, Relau dilihat tidak memakai pelitup muka.

Rata-rata mereka tidak memakai pelitup muka serta tiada penjarakan sosial ketika berada di tempat awam itu.

Pemerhatian selama satu jam di lokasi juga mendapati ada peniaga yang merokok ketika melakukan urusan jual beli ikan dengan pengguna.

Menurut seorang pengguna, Nur Aini Musa,40, pematuhan SOP hanya ditekankan ketika memasuki pasar tersebut.

“Nak masuk saja anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memeriksa suhu dan pemakaian pelitup muka tetapi bila masuk dalam ini bukan kami (pengguna) yang buat hal tetapi peniaga sendiri.

“Adakalanya saya takut datang sini bimbang berlaku jangkitan, namun tiada pilihan kerana pasar ini paling berhampiran dengan rumah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, tinjauan di Pasar Ayer Itam turut mendapati ada dalam kalangan peniaga juga tidak memakai pelitup muka.

Peniaga di Pasar Ayer Itam sambil lewa dalam mengamalkan SOP yang ditetapkan.

Walaupun kawasan pasar itu tidak sesak seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu namun pengguna serta peniaga dilihat masih mengingkari peraturan SOP.

Pada 2 Februari lalu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader meluahkan rasa kesal dengan situasi beberapa pasar awam di daerah Timur Laut dan Barat Daya di sini kerana pengunjung tidak mempedulikan sepenuhnya SOP ditetapkan.

Susulan itu, CAP menggesa Majlis Keselamatan Negara dan polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih gagal mematuhi peraturan penjarakan fizikal. – MalaysiaGazette