Orang ramai memenuhi pasar malam selepas kerajaan membenarkan beroperasi semula sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Malam Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 FEBRUARI 2021.

PETALING JAYA – Kebenaran membuka semula operasi pasar malam di seluruh negara merupakan sesuatu yang melegakan semua peniaga.

Namun mereka masih tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan syarat yang ketat.

Warga emas dan kanak-kanak antara dikategorikan sebagai berisiko tinggi dan masih dilarang memasuki kawasan pasar malam yang beroperasi dari 4 petang hingga 10 malam setiap hari.

Perkara itu terpaksa diaui para peniaga pasar malam namun keputusan kerajaan itu diterima dengan berlapang dada dan kebanyakannya menarik nafas lega apabila mereka dibenarkan meneruskan mata pencarian mereka seperti biasa.

Ishak Mohd Amin

Menurut seorang peniaga, Ishak Mohd Amin, 57, dia bersyukur tak terhingga sebaik sahaja kerajaan membenarkan operasi pasar malam berjalan seperti biasa.

“Saya mewakili peniaga-peniaga saya amat bersyukur diberi peluang untuk berniaga lagi PKP 2.0 ini. Alhamdulillah sekarang peniaga dapat berniaga dan terima kasih banyak sebab kami dapat cari rezeki.

“Kalau peniaga pasar malam tidak dibenarkan berniaga, apa lagi sumber lain untuk menanggung anak isteri dan keluarga,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pasar Malam Taman Medan semalam.

Kamarul Azman

Bagi seorang peniaga nasi lemak, Kamarul Azman, 35, kebenaran untuk berniaga semula merupakan tindakan tepat bagi memastikan ekonomi rakyat tidak disekat.

“Alhamdulillah, syukur sangat memang itu yang kita harapkan sebab ini faktor ekonomi, harap-harap memang tak mengganggu kita punya urusan perniagaan sebab inilah mata pencarian kami.

“Terima kasih kepada kerajaan yang memahami dan tak menyekat ekonomi rakyat,” katanya.

Ditanya tentang cara lain untuk menampung sara hidup keluarga sejak dua minggu lalu tidak berniaga, dia mengambil inisiatif berniaga secara rumah ke rumah.

“Kita buat penghantaran semasa pasar malam tak dibenar beroperasi dan alhamdulillah masih ada yang berminat nak nasi lemak.

“Saya sendiri buat penghantaran tanpa sebarang kos tambahan dan kebanyakannya pejabat dan hospital sebab dia dalam kuantiti banyak,” katanya.

Ismail Abd Rahman

Sementara itu, bagi seorang peniaga kelengkapan dapur, Ismail Abd Rahman, 65, langkah kerajaan membuka balik operasi pasar malam melegakan dia sekeluarga yang bergantung pendapatan daripada pasar malam.

“Terima kasih kepada kerajaan hari ini sebab membenarkan kita berniaga dengan sempurna. Alhamdulillah lega dapat berniaga balik, sebelum ini memang susah sikitlah.

“Sebelum ini bila dia (kerajaan) tak bagi kita berniaga memang susah, sekarang ada rezeki untuk makan sikit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette