Seramai 24 individu ditahan leka berjudi di Air Itam, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Keasyikan sekumpulan individu termasuk warga emas bermain judi mahjong terbantut selepas pihak polis menyerbu dua buah rumah kampung di Air Itam di sini awal pagi tadi.

Serbuan berakhir jam 1 pagi itu dilakukan hasil daripada intipan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) sejak seminggu lalu.

Difahamkan, rumah kampung tersebut disewa untuk dijadikan markas perjudian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komsioner Soffian Santong berkata, ketika serbuan dibuat kesemua 24 individu termasuk seorang wanita warga asing itu sedang leka bermain judi mahjong.

Pihak polis merampas peralatan mahjong yang digunakan bagi aktiviti perjudian.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki dan enam wanita yang berusia lingkungan 41 hingga 73 tahun.

“Kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(b) dan 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953; Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas pelbagai barang yang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian mahjong dan wang tunai.

Tambahnya, kesemua suspek turut dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan. – MalaysiaGazette