Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi,

KUALA LUMPUR – Semua pihak disaran agar tidak menyalahgunakan kebenaran kerajaan dalam membuka semula beberapa aktiviti perniagaan khususnya kebenaran makan di restoran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua premis perniagaan wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Begitu juga diharapkan daripada pembeli dan pengguna untuk bekerjasama mematuhi SOP seperti sentiasa memakai pelitup muka, mendaftar kehadiran dengan MySejahtera, menjaga penjarakan sosial, mencuci tangan dengan cecair sanitasi.

“Perlu sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19 untuk bersama-sama memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Alexander memberitahu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta seluruh komuniti peruncit turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas persetujuan membuka semula 17 aktiviti sektor perdagangan pengedaran yang bermula hari ini.

“Sesungguhnya pengumuman ini tepat pada masanya dan sangat dinanti-nantikan, bukan sahaja pemain industri yang terbabit malah kepada seluruh pengguna yang telah lama menunggu pembukaan semula aktiviti tersebut.

“Saya yakin, seluruh pemain industri dan pengguna akan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan sebagai tanda sokongan kepada kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 dan pada masa yang sama berganding bahu memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, pihaknya akan terus memantau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada pemilik perniagaan yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, sehingga 7 Februari lalu, sebanyak 357,489 premis perniagaan telah diperiksa berhubung pematuhan SOP oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara.

Daripada jumlah jelas beliau, sebanyak 112 premis perniagaan telah dikenakan kompaun di bawah Akta 342. – MalaysiaGazette