Guru, Muhammad Nishan baharum. foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Hampir setahun tidak bersemuka dengan anak murid, Muhammad Nishan Baharum, 41, meluahkan rasa rindu yang terpendam untuk mengajar secara bersemuka di sekolah.

Menjadi guru selama 18 tahun, beliau berpendirian walaupun teknologi semakin canggih namun ia tidak akan dapat menggantikan cara pengajaran bersemuka yang memberi kesan yang berbeza.

Bagaimanapun beliau tetap akur dengan ketetapan kerajaan, walaupun jauh di sudut hatinya mengharapkan sesi persekolahan bersemuka akan dilaksanakan kembali.

“Setakat ini saya nak sekolah buka balik, saya rindu nak mengajar, rindu sangat, rindu anak murid.

“Saya rindu suasana di sekolah. Secanggih mana pun teknologi, human touch is important sama macam rasa makan di kedai lain dengan kita pesan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, cara yang terbaik untuk memulakan semula sesi persekolahan secara bersemuka adalah dengan memastikan anak murid mendapat pengetahun yang meluas tentang Covid-19 terlebih dahulu.

Khusus bagi pelajar sekolah rendah, kata Nishan yang merupakan cikgu Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di kawasan Bandar Tasik Permaisuri itu berkata, ibu bapa dan guru mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik dan memastikan mereka memahami bahaya wabak berkenaan dan amalan pencrgahan penularan yang perlu diamalkan setiap hari.

“Kalau nak buka sekolah, ketat mana pun SOP (Prosedur Operasi Standard), budak-budak sekolah rendah kena didik mereka. Kena diterangkan berkali-kali. Kita kena belajar hidup dengan benda ini, sampai bila kita nak berhenti.

“Mahu tidak kita kena hidup dengan Covid-19 dalam norma baharu, didik pelajar sekolah macam mana nak jaga SOP, nak elak penularan, bila didik budak-budak faham .Kita kena didik pelajar lebih untuk hati-hati,” katanya lagi.

Muhammad Nishan berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia menerima kenyataan bahawa kita terpaksa hidup dengan Covid-19.

Bagaimanapun ujarnya, ia tidak ‘menghalalkan’ sesiapa sahaja mengambil sikap ‘acuh tak acuh’ terhadap SOP dan amalan sentiasa berwaspada daripada wabak itu.

“Yang penting berwaspada itu sahaja sebenarnya. Jangan nafi kita kena hidup dengan Covid-19 ini,” katanya. -MalaysiaGazette