Reaksi sedih ibu angkat kepada Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, Norlida Abu Hassan selepas proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Padang Bekoh, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 FEBRUARI 2021.
KUALA LUMPUR – Ibu angkat Allahyarham Zubaidi Amir Amir Qusyairi Abd Malek merayu kepada orang ramai supaya memadamkan gambar kanak-kanak itu yang dirakam di sebalik pagar rumahnya di Krubong, Melaka.
Norlida Abu Hassan, 50,  ketika membuat rayuan itu berkata, dia tidak mampu melihat raut wajah arwah anak itu yang kelihatan cukup sedih dan sayu.
“Allahu akbar, umi memang tak boleh tengok gambar tu, luluh hati umi. Tapi bila umi buka Facebook, mesti gambar itu yang keluar.  Gambar tu buat hati umi sedih, sedih sangat. Umi rasa sayu.
“Umi tahu Amir bukan saja-saja berada di situ. Dia mesti berharap umi datang, umi percaya Amir tengah cari umi. Amir tunggu umi datang.
”Sebab tu, umi merayu, minta tolong padam lah gambar tu. Umi tak sanggup tengok,” rayunya sambil menangis ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Media melaporkan gambar itu dirakamkan oleh jiran beberapa hari sebelum mayat Amir ditemui terjatuh di dalam tong air.
Dalam sisa tangisannya, Norlida berkata, Amir kelihatan anak yang matang dalam gambar itu walaupun baru berusia tujuh tahun.
Sedangkan ketika dia dalam penjagaan Norlida, Amir adalah anak manja.
Menurutnya, meskipun sudah 11 hari anak kesayangannya meninggal dunia, namun  sesaat pun dia tidak dapat melupakan Amir.
Dia masih merasai setiap derap langkah Amir di dalam rumahnya, bahkan keletah manja Amir yang selalu duduk di hujung kakinya sentiasa terbayang di matanya.
Malah, bantal busuk peninggalan Amir masih dibawa ke mana-mana kerana terasa bau kanak-kanak tersebut.
“Umi cuba untuk kuat, tak mahu sedih lagi tapi umi tak boleh. Hati umi rapuh lihat gambar tu. Susah umi hendak lupakan Amir, anak umi,” ujar wanita itu sambil cuba menahan sedih.
Walaupun semua yang berlaku adalah ujian Allah dan beliau belajar serta berusaha untuk redha.
Namun di sudut hatinya Norlida mengakui dia masih berasa ralat kerana melepaskan Amir kepada ibunya sendiri hingga menyebabkan anak itu meninggal dunia dalam keadaan tragis.
“Amir ni ditatang penuh kasih sayang oleh kami. Walaupun dia adalah abang sulung kepada adik-adiknya yang lain tetapi dia anak bongsu di rumah ni.
”Dia manja, kalau dia merajuk dia akan diam. Lepas tu dia akan datang dekat umi. Itu perangai dia.
“Agaknya kalau dia merajuk semasa di bawah penjagaan ibu kandungnya, siapa agaknya yang pedulikan dia.
”Itu yang buat hati umi sedih bila tengok gambar Amir,” ujarnya dengan nada sedu-sedan. – MalaysiaGazette