Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersambung dengan saksi ke-11 hari ini.

Saksi tersebut, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet, Tan Sri Mazidah Abdul Majid mendedahkan tentang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam keterangan beliau.

Mazidah berkata, beliau sememangnya tidak pernah menyedari atau mengetahui kewujudan nama Jho Low sehinggalah skandal 1MDB mula diperkatakan oleh umum dan media.

Ini kerana nama Jho Low atau pembabitannya dengan 1MDB tidak pernah dijumpai dalam minit mesyuarat Kabinet.

Malah beliau tidak pernah ingat nama tersebut muncul ketika mesyuarat itu.

“Saya memang tidak ingat langsung jika nama itu (Jho Low) pernah disebut dalam mesyuarat, tapi jika anda lihat dalam minit mesyuarat sememangnya tidak ada langsung.

“Jika namanya tidak ada dalam minit mesyuarat bermakna ianya tidak disebut dalam mesyuarat Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Mazidah yang mula memberi keterangan sejak semalam juga ada mendedahkan Najib pernah memberitahu Kabinet bahawa Putera Mahkota Saudi Sultan Abdul Aziz Al-Saud telah menyatakan persetujuan untuk menyerahkan sumbangan kepada Yayasan 1MDB.

Selepas sumbangan pertama diterima, dedah Mazidah akan ada lebih banyak sumbangan namun ianya tidak diumum kepada sesiapa secara terbuka.

Oleh yang demikian, Kabinet juga bersetuju untuk tidak mendedahkan tentang sumbangan tersebut kepada umum.

Najib yang juga Ahli Parlimen didakwa atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding masih lagi bersambung ketika ini. -MalaysiaGazette