Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad AL-Bakri menyampaikan bantuan kepada penerima, Sharifah Noor Abdullah pada Majlis Sumbangan Tahun Baru Cina kepada Mualaf anjuran Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kompleks Islam Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sehingga RM2 juta melalui Program Musa’adah Covid-19 bagi menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf mualaf di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, seramai 4,000 mualaf akan menerima manfaat itu berupa wang tunai RM500 dan barang keperluan bernilai RM100.

“Kita tidak membataskan kepada mualaf Cina sahaja, tapi itu diberi keutamaan sempena Tahun Baharu Cina kali ini, namun mualaf lain pun kita bantu (sepanjang tahun).

“Mualaf yang menerima bantuan ini berdaftar dengan MAIWP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Darul Hidayah,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada 12 mualaf Cina sempena Tahun Baharu Cina.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Selain wang tunai berjumlah RM500 sumbangan daripada MAIWP, bantuan barang keperluan asas bernilai RM100 pula disumbangkan oleh JAKIM, JAWI, Yayasan Dakwah Islamaih Malaysia (YADIEM) dan agensi-agensi lain. – MalaysiaGazette