Southampton bersedia memberi saingan sengit untuk menjulang piala FA musim ini setelah berjaya melangkah ke suku akhir kejohanan tertua dunia itu.foto: Agensi

LONDON – Southampton sudah mensasarkan kejuaraan Piala FA Emirates musim ini dan tidak takut berdepan dengan pasukan-pasukan elit termasuk juara bertahan Manchester City yang masih berada dalam saingan tersebut.

Dalam pusingan kelima yang berlangsung Selasa lalu, The Saints menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-0 untuk menempah tiket ke suku akhir ini.

Pengurus pasukannya Ralph Hasenhuttl optimis anak buahnya boleh membawa kejutan dengan menjulang piala kejohanan tertua dunia itu.

“Saya optimis pasukan saya boleh sasar dan julang Piala FA.

“Ini kerana kami berjaya melangkah ke suku akhir temasya kali ini,” katanya.

The Saints akan bertemu Bournemouth dalam aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 20 atau 21 Mac ini.

Ralph juga berkata, mereka selesa dalam saingan FA kali ini dan boleh memberi fokus untuk menjulang piala FA.

“Sejak beberapa minggu lalu kami mengharungi laluan sangat sukar dan mencabar..

“Kemenangan dan peluang berentap dalam suku akhir sangat penting dan anak buah saya sedar akan peranan masing-masing yang perlu dilaksanakan selepas ini.

“Kami jelas dengan misi kami iaitu sasarkan kemenangan Piala FA dan tiba masanya untuk menang sesuatu,” katanya.

Untuk rekod, the Saints yang menduduki tangga ke-12 dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL) pernah menjulang piala FA sekali iaitu pada 1976 menewaskan Manchester United.

Dalam penampilan terakhir di pusingan akhir, mereka ditundukkan oleh Arsenal pada tahun 2003. – MalaysiaGazette