Jorge Pereyra Diaz.

KUALA LUMPUR – Bekas penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz menamatkan spekulasi perpindahannya ke pasukan Liga Malaysia musim ini apabila disahkan menandatangani kontrak dengan Club Atletico Platense sehingga 31 Disember ini

Platense adalah kelab yang baharu dinaikkan pangkat ke liga divisyen 1 Argentina, Liga Primera Division pada tahun 2020.

Kehadiran Diaz sangat diperlukan oleh mereka untuk bersaing dengan pasukan kuat seperti Boca Juniors, Racing dan River Plate serta memburu kedudukan lima terbaik liga.

Diaz sebelum ini dikaitkan dengan Sabah FC selepas pengendali pasukan itu, Kurniawan Dwi Yulianto menyatakan bekas penjaring terbanyak Liga Super 2016 itu sesuai dengan corak permainan yang dimahukannya.

Kurniawan juga berkata, pihak Sabah FC pada dasarnya sudah bersetuju berhubung soal bayaran Diaz dan beliau juga ada berhubung dengan ejen pemain itu sebelum ini.

Diaz merupakan salah satu pemain import terbaik yang pernah mewarnai kancah Liga Malaysia apabila dia pernah membantu JDT memenangi Liga Super sebanyak dua kali pada musim 2014 dan 2015 serta Piala FA pada musim 2016.

Selepas tiga musim bersama JDT, beliau menyertai kelab Mexico, Leon pada tahun 2017 dan kemudian menyertai kelab Bolivia, Bolivar de La Paz pada musim 2019 hingga 2020.

Sepanjang bersama Bolivar, Diaz hanya menjaringkan dua gol dalam sembilan perlawanan sebelum ditangguhkan kerana wabak pandemik Covid-19.

Antara pencapaian terbaiknya dalam karier bola sepak benua Amerika Selatan ialah menjuarai Copa Sudamericana bersama Club Atlético Lanús pada musim 2013. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast