Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases deaths Malaysia
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,176 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada  266,445 kes.

Daripada jumlah itu, terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara adalah sebanyak 2,175 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 910 kes atau 41.8 peratus.

Jelas beliau, daripada jumlah ini, sebanyak 724 kes atau 79.6 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Menurutnya, ini diikut Johor sebanyak 269 kes atau 12.4 peratus dan Sarawak sebanyak 246 kes atau 11.3 peratus.

“Sebanyak 64 kes atau 2.9 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara, lokap dan depoh tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Bendera (40 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (18 kes), Kluster Tembok Tapah (4 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes) dan Kluster Tembok Taiping adalah satu kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan lima kes di Selangor, dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta masing-masing satu kes di Sabah, Johor, dan Perak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, kes sembuh dicatatkan sebanyak 4,521 kes dengan jumlah 218,335 kes kumulatif atau  81.9 peratus.

Tambah beliau, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 260 kes. – MalaysiaGazette