Iklan Sugarbook yang pernah menimbulkan kontoversi di ibu negara.
MINGGU ini kita digemparkan dengan pendedahan pelajar Pengajian Tinggi yang terlibat dengan aktiviti sosial sehingga membawa kepada kancah pelacuran melalui aplikasi Sugarbook.
Sugarbook turut mendedahkan senarai 10 universiti di Malaysia termasuk dua universiti awam, yang terlibat menjadi “Sugar Baby” dengan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terjebak dalam kancah itu.
Perincian mengenai 10 universiti di Malaysia yang pelajarnya paling ramai menjadi “Sugar Baby” adalah seperti berikut:
[1] Sunway University: 3,105 pelajar.
[2] INTI International University: 2,624 pelajar.
[3] Taylor’s University: 1,696 pelajar.
[4] TAR University College: 1,600 pelajar.
[5] Universiti Malaya: 1,280 pelajar.
[6] Monash University: 960 pelajar.
[7] LimKokWing University: 864 pelajar.
[8] University of Nottingham: 832 pelajar.
[9] Multimedia University: 768 pelajar.
[10] Universiti Teknologi MARA: 704 pelajar.
 Barangkali ada yang berkata, mereka yang terlibat ini kebanyakkannya adalah non-Muslim. Pada hakikatnya kita tidak boleh memandang ringan mengenai isu ini. Ini kerana kegiatan pelacuran dalam kalangan golongan berpendidikan memberikan gambaran tentang keruntuhan aset penting negara malah merencana kehancuran institusi rumah tangga.
Perkara ini pernah disabdakan oleh Rasulullah. Baginda SAW pernah menegaskan bahawa fenomena zina akan membawa kepada kebinasaan. Pembudayaan zina dalam kalangan mahasiswa menggambarkan rosaknya masa hadapan sesebuah negara. Sabda Rasulullah:
إذا ظهر الزنا والربا في قرية فقد أحلوا بأنفسهم عذاب الله
“Sekiranya berleluasanya perbuatan zina dan riba dalam sesuatu kawasan, maka mereka telah mengundang azab Allah kepada mereka.” (HR al-Tabrani, dinilai sahih oleh al-Albani).
Malah pertumbuhan dan peningkatan budaya zina dalam kalangan mahasiswa berupaya menghasilkan anak-anak zina. Ini adalah seakan satu proses ke arah pembinaan keruntuhan sesebuah negara bangsa. Sabda Rasulullah:
لاتزال أمتي بخير ما لم يفش فيهم ولد الزنا، فإذا فشا فيهم ولد الزنا؛ فأوشك أن يعمهم الله بعذاب
“Umat ini akan sentiasa berada dalam keadaan yang baik selagimana tidak tersebarnya anak-anak zina. Sekiranya berleluasanya anak-anak zina, maka dibimbangi Allah akan merencana azab yang lebih luas buat mereka. (HR Ahmad)
Justeru segala platform dan ruang yang membawa kepada pembudayaan keji ini haruslah dihentikan. Kita tidak mahu melahirkan pelacur dalam kalangan pelajar Pengajian Tinggi. Semua pihak hendaklah menjalankan peranan masing-masing dalam menghancurkan budaya zina ini.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi, Majlis Ulama ISMA

1 Komen

Comments are closed.