Keadaan jalan berselut membelenggu pengguna jalan yang melalui kawasan tersebut.

BAYAN LEPAS – Keadaan jalan rosak, bertakung dan berselut di beberapa lorong sekitar Taman Perindustrian Diamond Valley, Batu Maung di sini menyukarkan pengguna melalui kawasan berkenaan.

Masalah itu bukan saja membelenggu pengguna malah turut menjejaskan produktiviti kilang di kawasan perindustrian tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Keadaan jalan berselut membelenggu pengguna jalan yang melalui kawasan tersebut.

Lebih membimbangkan, laluan itu dipenuhi lumpuh sepenuhnya jika hujan.

Menurut seorang pemandu lori, Mohd Nizam Abu Bakar,36, jalan tersebut sudah diturap beberapa kali namun kembali rosak.

“Saya memang kerap menggunakan laluan ini atas urusan kerja tetapi kami tidak tahu apa punca jalannya mudah rosak.

“Pernah berlaku satu kejadian di mana seorang pemandu kereta terperangkap dalam lumpur di jalan tersebut dan beberapa orang termasuk saya membantu menolak kereta itu.

“Ketika itu baru saya tahu lumpur di sini agak dalam sehinggakan saya sendiri tidak berani redah jalan itu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Air bertakung di beberapa jalan sekitar Taman Perindustrian Diamond Valley, Batu Maung di sini.

Tambah Mohd Nizam, dia sering mendengar rungutan pemilik premis di kawasan mengenai masalah itu, namun tiada penyelesaian setakat ini.

“Apa yang saya tau, banyak aduan sudah dibuat kepada pihak berkaitan namun masih belum menemui jalan penyelesaian,” ujarnya.

Difahamkan terdapat lima jalan di sini yang mengalami masalah sama.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, pihaknya sudah maklum mengenai perkara itu.

ADUN Batu Maung, Datuk Abdul Halim (tiga dari kiri) ketika meninjau keadaaan jalan di Taman Perindustrian Diamond Valley di sini hari ini.

Kata Abdul Halim, pihaknya akan meneliti punca kejadian itu berulang memandangkan masalah berkenaan pernah ditangani sejak beberapa tahun lalu.

“Kita menerima aduan daripada lebih 30 pengusaha dan pemilik premis di sini mengenai keadaan jalan menyebabkan mereka tidak selesa.

“Kita akan mengadakan mesyarat bersepadu bersama beberapa agensi berkaitan bagi melihat semula perkara ini,” kata Abdul Halim. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.