Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abdul Rahman hadir bagi perbicaraan kes 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-10 kes berprofil tinggi 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disoal bertalu-talu oleh peguambela ketika sesi soal balas hari ini.

Walaupun adakalanya soalan daripada Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah agak kontroversi namun saksi berkenaan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman kelihatan tenang menjawabnya.

Ketika sesi soal balas, Muhammad Shafee banyak menumpukan perhatian kepada penglibatan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam pengurusan tertinggi serta kewangan 1MDB.

Peguambela, Tan Sri Shafie Abdullah hadir pada perbicaraan anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melibatkan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 15 FEBRUARI 2021.

Malah antara soalannya termasuklah bagaimana jawatan seperti CEO dengan gaji puluhan ribu diterima Mohd Hazem tetapi dirinya tidak terdaya untuk menyoal Jho Low.

Saksi dalam keterangan awalnya memaklumkan semua arahan daripada Jho Low terpaksa diikuti kerana mengikut pandangannya, itu adalah ‘arahan’ Perdana Menteri ketika  itu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2021.

Bagaimanapun ketika Muhammad Shafee bertanya sama ada Mohd Hazem pernah bertanya Perdana Menteri sendiri berhubung arahan daripada Jho Low, saksi mengakui tidak pernah berbuat demikian.

Mohd Hazem juga menuding jari kepada arwah Datuk Azlin Alias yang ketika itu adalah bekas Setiausaha Sulit Najib selain nama Jho Low pada keterangan yang sama.

SHAFEE: Arwah Azlin sudah tidak ada, Jho Low pula sehingga hari ini kita tidak dapat bayangannya, jadi maaflah saya terpaksa tanya kepada anda soalan-soalan ini.

Saya hendak tahu sendiri mengikut logik anda, mengapakah Jho Low ini sentiasa menjadi rahsia, tidak duduk dalam kalangan lembaga pengarah, tidak muncul dalam 1MDB? Tidakkah anda pernah tertanya sendiri lagi anda sebagai CEO?

MOHD HAZEM: Memang tidak masuk akal tapi saya rasa arahan Jho Low itu datangnya dari Perdana Menteri (Najib).

SHAFEE: Tidak cuba tanya Perdana Menteri?

MOHD HAZEM: Er, saya tidak tanya.

SHAFEE: Anda tidak pernah Perdana Menteri walaupun ada kalanya anda rasa arahan Jho Low itu mungkin tidak masuk akal terutamanya dari aspek kewangan?

MOHD HAZEM: Tidak.

SHAFEE: Perjumpaan dengan Perdana Menteri dan Jho Low ada dua peringkat bukan begitu? Apabila anda sampai, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri terlebih dahulu. Kemudian baru kamu berjumpa Jho Low bukan?

Jadi, mengapakah kamu sendiri buat andaian ada arahan yang diberikan Jho Low itu datangnya dari Perdana Menteri? Anda tidak ada dalam mesyuarat itu bukan? 

MOHD HAZEM: Saya juga dapat arahan dari arwah Datuk Azlin.

SHAFEE: Adakah anda bersetuju sepatutnya semua arahan-arahan itu perlu disemak dengan Perdana Menteri juga?

MOHD HAZEM: Saya setuju tapi saya tidak ada akses.

Dalam pada itu, Mohd Hazem turut mendakwa dirinya tidak dapat membuka mulut atau mendedahkan sebarang kepincangan dalam 1MDB kerana Najib adalah Perdana Menteri ketika itu.

SHAFEE: Saya hendak tahu ini, adakah pada pandangan anda Perdana Menteri yang anda cakap ini jika hendak menganiaya anda, bukankah beliau akan biarkan anda ‘keluar’ tanpa sebarang pampasan? Tetapi anda dibayar pula bonus sebanyak RM2.7 juta.

MOHD HAZEM: Setuju.

SHAFEE: Tidakkah ini seperti ‘komedi’ kononnya untuk semua ‘jenayah’ yang telah diarahkan dilakukan oleh anda kemudian diberikan pula ganjaran RM2.7 juta?

MOHD HAZEM: Benar.

Untuk rekod, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berhadapan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding dihadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung esok. -MalaysiaGazette