Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan, Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dilihat cuba berdalih dengan dakwaan kononnya pindaan Perkara 119 (1) yang diluluskan di Parlimen dibuat tergesa-gesa dan bermotifkan politik.

Kenyataan tersebut juga seolah-olah memberi ramalan bahawa dasar untuk menurunkan had umur undi kepada 18 tahun yang telah diputuskan Parlimen pada 16 Julai 2019 lalu tidak akan dikuatkuasakan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz menegaskan, tiada alasan kukuh untuk mana-mana pihak berganjak dari keputusan yang dicapai sebulat suara oleh seluruh ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang dengan menafikan hak warga Malaysia yang sudah mencapai usia 18 tahun untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“ABIM juga menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mendakwa rakyat Malaysia  berumur 18 tahun masih mentah dan belum bersedia untuk mengundi dalam pilihan raya.

“Di kala mereka yang berusia 18 tahun sudah boleh berkerjaya, menganggotai ketenteraan, berkahwin dan sebagainya seperti yang termaktub dalam peruntukan undang-undang, adalah satu yang tidak masuk akal apabila ada pihak yang mempersoal kematangan mereka untuk membuat pilihan menentukan nasib negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini.

Mengulas isu tersebut, Muhammad Faisal berkata, apabila mereka yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan untuk berkerjaya, sudah pasti mereka termasuk dalam golongan yang berkelayakan membayar cukai kepada negara.

Justeru, katanya, adalah satu tanggungjawab moral dan amanah untuk mereka terlibat dalam memilih pemimpin negara sebagai ruang semak dan imbang serta memantau kebertanggungjawaban kerajaan yang menggunakan wang cukai yang dibayar mereka.

Beliau juga merujuk kepada data batchgeo.com yang menegaskan bahawa statistik dunia hari ini menunjukkan 86 peratus negara telah menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

Ini tidak termasuk negara jiran Indonesia dan Timur Leste yang meletakkan had umur mengundi 17 tahun selain 16 negara lain yang meletakkan had umur mengundi lebih muda iaitu 16 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM menggesa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membentangkan kepada rakyat laporan perkembangan terkini pelaksanaan had umur mengundi yang baharu agar seluruh rakyat khususnya anak muda di Malaysia dapat memastikan mereka dibenarkan untuk mengundi dalam PRU akan datang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Warga asing menguntungkan ekonomi penjajah British pun diberi hak warga tempatan inikan pula anak muda mentah boleh bekerjaya dan berkahwin pun boleh diberi hak mengundi juga, kan? Jawabnya Malaysia boleh.

Comments are closed.