Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin National Unity racial sentiments
Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri hari ini menyampaikan berita gembira kepada semua rakyat Malaysia apabila vaksin Pfizer-BioNTech akan sampai di Malaysia pada 21 Februari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari depan.

“Saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa. Fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan bermula pada 26 Februari sehingga April 2021,” katanya ketika berucap merasmikan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut Muhyiddin, fasa kedua program itu akan bermula pada bulan April sehingga Ogos depan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi manakala fasa ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Februari tahun depan.

Program imunisasi kebangsaan ini jelas Muhyiddin adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti.

Ia dilakukan agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 sekaligus dapat menamatkan pandemik Covid-19 di negara ini

“Ringkasnya, vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang – iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut melancarkan laman web www.VaksinCovid.gov.my di mana rakyat negara ini boleh memuat turun buku panduan ini untuk rujukan masa akan datang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Selepas disuntik vaksin kebal maka tak perlu pelitup muka dan penjarakan fizikal walaupun menziarahi para pesakit Covid-19 nanti, kan?

Comments are closed.