Pemuda berusia 26 tahun ditahan bersama 60 bungkusan air ketum dan daun ketum.

KAJANG – Polis menahan seorang penghantaran makanan e-hailing yang disyaki mengedar air dan daun ketum di sekitar Lembah Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis Kajang jam 5 petang di Taman Sri Timah, Kajang Selangor.

Katanya, pemeriksaan ke atas beg penghantaran makanan milik pemuda itu menemukan 23 bungkusan disyaki air daun ketum, 36 bungkusan daun ketum segar dan sebuah beg plastik yang mengandungi daun ketum basah.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek menjalankan pengedaran air ketum di kawasan Lembah Klang sejak sebulan yang lepas dengan menggunakan kenderaan persendirian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.

Menurut Mohd Zaid, suspek akan ditahan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika disabitkan boleh membawa hukuman didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya.

Mohd Zaid berkata, jumlah keseluruhan rampasan daun dan air ketum dipercayai boleh dibekalkan kepada 2,050 orang pengguna. – MalaysiaGazette