Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan sumbangan kepada golongan B40 di (JAKIM), Putrajaya. Foto FIKRI YAZID,16 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) ibadah haji dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan syarat kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia bagi memastikan jemaah haji Malaysia tidak terkandas dan dihalang mengerjakan rukun Islam kelima itu pada tahun ini.

“SOP (haji Malaysia) sudah siap bagi pihak kita tapi kita juga perlu melihat di sebelah sana (Arab Saudi) untuk lebih kemaskini lagi dan kita akan baiki dari semasa ke semasa.

“Bagi pihak kita, kita akan melihat SOP di sebelah sana (Arab Saudi) kemudian barulah kita garis pandukan SOP tersebut supaya tak timbul lagi isu tak boleh masuk, tak boleh guna SOP,” katanya kepada pemberita di Kompleks Islam hari ini.

Terdahulu Zulkifli menyerahkan bantuan Program Musa’adah Covid-19 kepada 200 penerima daripada golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk 10 kakitangan sokongan di bawah agensi JAKIM.

Sumbangan berupa barangan keperluan asas disumbangkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Food Bank manakala wang tunai RM100 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan jumlah keseluruhan bernilai RM41,000.

Menurut Zulkifli, SOP yang dirangka oleh JAKIM, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu perlu diserahkan kepada Kerajaan Arab Saudi untuk penelitian dan penilaian sebelum ia dimuktamadkan.

“Saya harap dengan cara kita bersepakat dan kita boleh menyesuaikan kehendak di sana dan juga kehendak kita.

“Lantas kita bina satu SOP haji dan umrah, terutama umrah dahulu untuk melancarkan perjalanan selepas Kerajaan Arab Saudi memberi laluan kepada kita untuk ke Mekah.

“Bagaimanapun hal ini tertakluk kepada perbincangan dan suasana semasa yang terkait dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Zulkifli turut mengesahkan tentang perjumpaan beliau bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan kerajaan Arab Saudi pada Mac ini.

“Insya-Allah pejabat PM akan buat kenyataan rasmi berkenaan perjumpaan tersebut

“Insya-Allah pada Mac ini dan mungkin kita akan bincang dalam banyak isu yang berkait dengan kami Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, sudah tentu masalah haji dan umrah,” katanya.

Ditanya tentang jumlah jemaah haji Malaysia yang akan dibenarkan menunaikan ibadat itu tahun ini, beliau bagaimanapun berkata, ia akan diputuskan dalam perjumpaan tersebut.

“Setakat ini belum ada kenyataan secara rasmi, jadi kita tunggu dan lihat. Sebenarnya JAUHAR telah mengambil inisiatif yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan SOP tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette