Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Azalina Said Othman melahirkan rasa bingung mengapa sehingga saat ini kerajaan tidak boleh atau enggan memudahkan proses untuk mengadakan sidang Parlimen seperti yang diamalkan oleh negara lain ketika  darurat ini.

Azalina yang merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi memudahkan sidang Parlimen termasuklah mengurangkan kuorum Ahli Parlimen yang hadir.

Selain itu, kata Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, kerajaan juga boleh menetapkan waktu mesyuarat yang fleksibel serta menyiarkan prosiding kamar khas seperti negara-negara lain.

“Tanpa melakukan sebarang improvasi supaya Parlimen diteruskan, kerajaan telah putuskan untuk gantung persidangan ini sama sekali.

“Tidak cukup dengan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) pula menasihati kerajaan dengan ‘sempitnya’ pada hemat saya supaya semua aktiviti Jawatankuasa yang ditubukan di Parlimen termasuklah Jawatankuasa Pilihan Khas (JK) tidak wajar walaupun secara maya.

“Nasihat ini secara langsung menghalang Ahli-Ahli Parlimen termasuk JK untuk menyiasat isu-isu tertentu secara mendalam atau jalankan peranan mereka.

“Dalam hal ini, fungsi badan perundangan dimandulkan dan aktiviti JK dibatalkan, badan Eksekutif pula mempunyai kebebasan memerintah negara selagi darurat masih berkuatkuasa,” katanya.

Beliau melahirkan rasa hairanya itu dalam surat yang ditulis kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Surat bertarikh hari ini itu dikongsi Azalina di Twitter dan Facebook beliau sebentar tadi dalam versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Untuk rekod, Idrus Harun juga merupakan abang kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azizan Harun.

Kata Azalina lagi, penggantungan Parlimen membangkitkan beberapa soalan termasuklah bagaimana eksekutif akan dipertanggungjawabkan dalam keputusan yang dibuat.

Selain itu sebab untuk turut melarang JK daripada menjalankan tugas mereka.

“Bagaimana untuk ada Kabinet yang berfungsi sepenuhnya jika tiada cara menjalankan pertanggungjawaban Kementerian? Mengapa tiada Kabinet Khas Darurat?,” soalnya.

Azalina berharap, Idrus dapat menimbang untuk menasihatkan agar Kabinet sekarang digantung dan digantikan dengan Kabinet Khas Darurat yang hanya merangkumi kementerian yang relevan pada masa ini.

“Kabinet Khas Darurat ini boleh dibenarkan untuk berfungsi dengan kuasa terhad sehinggalah darurat tidak lagi dikuatkuasakan.

“Pada masa sama, jawatankuasa Parlimen khas yang dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang boleh dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang antara lain untuk melaksanakan pertanggungjawaban kementerian dan melaksanakan semak dan imbang yang perlu,” tegasnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Betul tu..bila darurat tahun 1969, Megeran ditubuhkan sbg kabinet darurat…yg ni pelik sungguh…PM dan Kabinet sedia ada kekal berkuasa, tidak ada check and balance..rakyat kena telan semua yg disumbatkan oleh kerajaan..malah lebih teruk, dah lah parlimen sbg suara rakyat dihalang, PM pun tak pernah buat sidang media…yg dia tau cuma bg taklimat dan arahan tanpa soal walaupun daripada media…

  2. Kata orang nak bandingkan apel dgn apel, oren dgn oren, tapi bila durian pandai cari MK, D24, AM, BT dll. MK pun macam2 jenis, benih yg sama di tanam tempat yg berbeza pun rasa lain. Ataupun memang apel dan oren jgak berbagai2 jenis dan kelas. Cuma kdg2 saje2 jadi bodoh utk membodohkn org…

Comments are closed.