Kanak-kanak yang menjadi mangsa dera bapa kandung dan ibu tirinya diselamatkan emak dan bapa saudaranya semalam sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak mangsa dera bapa dan ibu tiri yang telah diselamatkan emak dan bapa saudaranya akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah perlindungan atau hak penjagaan sementara oleh pasangan itu.

Perkara itu dimaklumkan ibu saudara mangsa kanak-kanak berusia 11 tahun itu kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau merupakan adik kandung kepada mendiang ibu mangsa yang telah meninggal dunia akibat kencing manis pada Januari 2018.

G. Vickneswari berkata, seorang pegawai wanita dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur telah melawat mereka di kediamannya di Setapak.

“Banyak perkara telah dibincangkan termasuklah hak penjagaan sementara ke atas mangsa.

“Selain itu, beliau juga berbual dengan anak buah saya (mangsa dera), meminta menceritakan apa yang berlaku dan anak buah telah meluahkan segala-galanya dari mula sehingga dia lari menyelamatkan diri Ahad lalu.

“Anak buah saya menceritakan nasib yang menimpa dirinya secara terperinci tanpa berselindung seperti mana dia nyatakan kepada polis ketika diambil keterangan semalam,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau juga mengakui pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju telah datang mengambil keterangan mangsa, selain panggilan turut diterima dari IPK Kuala Lumpur serta Bukit Aman.

Artikel berkaitan: Kanak-kanak didera selepas kematian ibu, jadi buruh paksa di kandang haiwan

Vickneswari  berkata, dia dan suaminya diminta membawa kanak-kanak berkenaan ke mahkamah esok untuk mendapatkan hak penjagaan sementara ke atas mangsa bagi menjamin aspek keselamatannya.

Ujarnya, pegawai JKM itu memaklumkan akan memohon dan mendapatkan perintah perlindungan sementara untuk tempoh dua bulan.

Katanya, perintah mahkamah itu kelak akan menghalang mangsa diusik atau diganggu oleh bapa kandung serta ibu tirinya.

“Jika sepanjang dua bulan itu kami tidak berdepan masalah atau gangguan menjaga dan melindungi anak itu, maka kami akan dibantu mendapatkan hak penjagaan untuk selama-lamanya.

“Kami tak sanggup berpisah dengan anak ini kerana dia adalah anak mendiang kakak saya,  selain dia (mangsa) rapat dan sayang dengan kami,” ujarnya.

Polis pandang serius kes dera, kanak-kanak jadi buruh paksa