Mohd Puad Zarkashi.

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Azalina Othman Said menghantar sepucuk surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sambil menyifatkan cabang legislatif telah dilumpuhkan selepas Parlimen digantung mendapat pujian daripada pemimpin UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ketegasan Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu perlu dihormati, sekaligus sebagai satu peringatan kepada Peguam Negara bahawa mereka sepatutnya menjadi penasihat perundangan yang bebas kepada kerajaan.

“Memang salute kepada Datuk Azalina kerana beliau menyatakan pendirian tegas bahawa legislatif lumpuh bila Parlimen digantung.

“Peguam Negara mesti tidak takut dan tidak memihak. Mesti saksama. Justeru beliau (Azalina) mahu Peguam Negara beri nasihat perundangan yang telus kepada Perdana Menteri.

“Beranikah Peguam Negara? Semoga Tan Sri Idrus Harun ada hati nurani yang kuat. Kita tidak mahu Tommy Thomas 2.0,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, Azalina menghantar sepucuk surat kepada Peguam Negara, antara lain melahirkan kebingungan beliau terhadap terdapat kemungkinan tiada usaha untuk melaksanakan sidang Parlimen seperti negara lain.

Azalina memetik Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan “jemaah menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen”.

Menurut Azalina, Malaysia perlu menekankan bahawa pertanggungjawaban kementerian adalah penting dalam sistem Parlimen kerana ia menjamin kebertanggungjawaban kerajaan kepada legislatif, dan kepada pengundi secara keseluruhan.

“Seolah-olah itu belum memadai, Pejabat Peguam Negara juga telah menasihati kerajaan, dan saya perlu tambah secara membatas, yang semua kegiatan jawatankuasa di Parlimen termasuk jawatankuasa pilihan khas tidak boleh lagi diteruskan walaupun jika dibuat secara maya,” katanya Azalina.

Puad juga mempersoalkan kemungkinan peguam cara negara tidak bersetuju dengan tuntutan Azalina supaya Jawatankuasa Pilihan Khas berfungsi ketika darurat.

“Sekarang ‘Eksekutif’ termasuk Jamaah Menteri terlalu bebas mentadbir negara. Tiada pertanggungjawaban Parlimen. Siapa boleh persoal bila kuarantin Menteri balik dari luar negara dikurangkan dari 10 hari kepada tiga hari?

“Agaknya itu sebab Rina Harun boleh buat kerja sambilan dan pejabatnya jadi tempat sesi fotogarfi menjadi model. Kalau ada Jawatankuasa Pilihan Khas, Rina mungkin dihadapkan ke Jawatankuasa Pilihan Khas.

“Inisiatif Azalina wajar dipuji dan disokong. Tetapi kuncinya ialah Perdana Menteri. Tan Sri Muhyiddin Yassin yang “mengkucar-kacirkannya”. Beranikah Peguam Negara?” katanya lagi. – MalaysiaGazette