Tikus salai antara yang dirampas MAQIS daripada penumpang Vietnam yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Februari tahun lalu.

GEORGE TOWN – Daging babi, tikus dan itik menjadi antara barangan yang sering dibawa masuk secara tidak sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, kesemua daging itu dibawa masuk dengan alasan ia sudah disalai.

Zarina Ramli

Katanya, walaupun arahan larangan import produk babi telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengelakkan penyebaran penyakit, namun ramai warga asing khususnya Vietnam masih gagal mematuhinya.

“Selalunya apabila pemeriksaan dibuat mereka (warga asing) itu sendiri akan mengaku daging apa yang dibawa mereka memudahkan kita untuk melakukan proses pelupusan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zarina memberitahu, selain daging buah-buahan turut menjadi barangan yang kerap dibawa masuk penumpang kapal terbang.

“Kes membabitkan warga tempatan selalunya mereka akan bawa balik epal dari Turki konon sebagai buah tangan malah buah itu akan sembunyi dalam pakaian termasuk pakaian dalam bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Bagi warga asing pula, mangga merupakan buah yang paling dikerap dibawa masuk oleh penumpang Bangladesh. Tetapi kita akan sita dan lupus kerana terdapat serangga perosak dalam mangga itu.

“Selain itu, sarang burung walit dan ikan perhiasan juga antara yang pernah dibawa masuk melalui pintu LTAPP,” ujar Zarina. – MalaysiaGazette