GEORGE TOWN – Ramuan keju dalam makanan sudah menjadi bahan tambahan wajib oleh pengusaha makanan.

Bagaimanapun, kegilaan mengambil keju oleh semua masyarakat tanpa mengira usia itidak dititik beratkan oleh pengusaha makanan, termasuk gagal memastikan kualiti keju yang diimport.

Ia terbukti apabila Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas pelbagai jenis keju serta bahan perasa tenusu itu ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, trend semua makanan ditambah keju dikatakan punca produk tenusu tersebut paling banyak diimport masuk dalam negara.

“Pelbagai jenis keju termasuk jenis cecair serta perasa yang dibawa masuk dalam negara.

“Sebab itu kita boleh lihat banyak produk makanan terutamanya kek keju dijual murah kerana mereka menggunakan perasa saja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Bagaimanapun, Zarina menjelaskan kebanyakan keju itu dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import yang ditetapkan.

“Sepatutnya produk keju itu perlu dieksport dari negara asal dalam tempoh tujuh hari, namun atas alasan pandemik Covid-19 perkara berkenaan gagal dilaksanakan.

“Ini menyebabkan kita terpaksa menahan produk terbabit sebelum meminta jabatan dasar tentukan statusnya.

“Jika siasatan jabatan dasar menunjukkan pengimport mempunyai alasan yang kukuh baru produk itu akan dilepaskan kepada pengimport,” ujar Zarina.

Tambah beliau, penyitaan keju atau produk makanan dibuat bagi memastikan pengguna mendapat barang berkualiti dan bebas sebarang jangkitan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.